Selasa, 1 November 2011

Lelaki rogol anak tiri gagal ketepi hukuman

SHAH ALAM: Seorang warga Indonesia gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi di sini, semalam untuk mengetepikan hukuman penjara 60 tahun dan 30 sebatan atas tiga kesalahan merogol anak tirinya berusia 15 tahun, tiga tahun lalu.

Hakim Noor Azian Shaari dalam keputusannya mengekalkan hukuman yang diperintahkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Ampang, Roszianayati Ahmad terhadap Rosi Ahmad, 36.

Pada 15 Ogos 2009, Roszianayati memerintahkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi setiap satu pertuduhan terhadap Rosi selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan merogol.

Beliau juga memerintahkan hukuman penjara yang dijalani Rosi berjalan secara berasingan.

Rosi, mengaku merogol anak tirinya berusia 15 tahun di rumahnya Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur, pada 11 malam, 15 Ogos 2009.

Lelaki turut mengulangi perbuatan tersebut dengan merogol mangsa, di rumah yang sama, pada jam 9 pagi, Oktober 2009.

Bagi pertuduhan ketiga, Rosi sekali lagi merogol anak tirinya di rumah yang sama, pada 12.05 tengah malam, Januari 2010.

Dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan 10 sebatan.

Bagaimanapun, pada 1 April lalu, Rosi memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi supaya hukuman diringankan dan tarikh penjara berjalan serentak.

Sebelum itu, Noor Azian berkata selepas meneliti rekod rayuan dan hujahan, mahkamah mendapati Hakim Mahkmaah Sesyen tidak terkilaf dalam menjatuhkan hukuman ke atas perayu ( Rosi) dalam ketiga- tiga pertuduhan.

“Hukuman yang diperintahkan adalah berdasarkan pengakuan salah perayu (Rosi). Mahkamah tiada sebab untuk mengubah keputusan yang diputuskan hakim sebelum ini.

“Mahkamah tidak ada alasan untuk mengkaji dan mengusik keputusan tersebut (Hakim Mahkamah Sesyen),” katanya.

Beliau berkata, mahkamah mengambil kira tindakan perayu yang merogol mangsa sebanyak tiga kali dilihat satu perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Kamu (Rosi) sepatutnya menjadi penjaga kepada remaja itu selepas berkahwin dengan ibunya, bukan menjadi pagar makan padi.

“Orang seperti ini patut di kunci, dan kuncinya dibuangkan. Orang sebegini tidak seharusnya dibiarkan berkeliaran,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Zuraida Wan Nawan, manakala Rosi tidak diwakili peguam./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan