Khamis, 10 November 2011

Penarik beca didakwa

penarik beca
AYER KEROH: Seorang penarik beca bersama dua rakannya dituduh di Mahka­mah Sesyen di sini, semalam kerana merompak secara berkumpulan wang RM10,000 milik seorang penarik beca hujung September lalu.

Tertuduh, Mohd Afandi Hassan, 24, P Logahadevan, 23, dan Shamshul Anuar Abd Kadir, 40, bagaimanapun tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddin.

Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa merompak wang tunai RM10,000 milik Lai Nyong Cheng @ Nai Nyong Cheng, 60, menggunakan sebilah pi­sau pemotong sayur serta menyebabkan kecederaan terhadap mangsa pada 28 September 2011.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta Seksyen 397 Kanun Kesek­saan yang memperuntukkan hukuman sebat, selain daripada hukuman yang dikenakan di bawah mana-mana seksyen lain dalam kanun berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fairuz Syuhada Amran ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM12,000 bagi setiap tertuduh.

Harmi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, selain turut menetapkan 12 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan