Jumaat, 4 November 2011

Kontraktor mati ditetak

AZIZAN INCHE HARUN
PASIR GUDANG: Seorang kontraktor pendawaian mati ditetak sekumpulan penjenayah di ruang tamu rumahnya ketika sedang berehat bersama isteri dan seorang anaknya dalam kejadian di Jalan Balau, Taman Rinting, di sini, kira-kira jam 8.25 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin berkata, anggotanya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada anak mangsa.

Menurutnya, sebaik tiba, anggotanya mendapati seorang lelaki berumur lingkungan 50 tahun terbaring di ruang tamu rumah dengan kesan cedera parah di bahagian kepala.

“Mangsa mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian pipi dan bahu kiri dipercayai dibunuh dengan menggunakan senjata tajam.

“Motif dan suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan ini masih disiasat, termasuk senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian, malam semalam.

Mohd Roslan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Pandan, Johor Bahru untuk bedah siasat.

Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, dia terkejut menerima panggilan pagi kelmarin mengenai kematian mangsa, sedangkan mangsa mati kira-kira jam 8 malam.

Menurutnya, dia sekeluarga masih belum sempat ke rumah mangsa sempena Deepavali dan bercadang akan ke rumah mangsa dalam masa terdekat./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan