Rabu, 9 November 2011

Dua lelaki samun warga emas diberkas

Taktik dua lelaki bermotosikal, mendakwa kenderaan dilanggar sebelum menyamun mangsa warga emas, tidak berhasil apabila mereka kemudiannya diberkas polis dalam kejadian di hadapan sebuah hotel di Jalan Ipoh, Sentul, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, seorang pengadu warga emas memandu kereta bersendirian di Jalan Parlimen menghala ke Jalan Tun Razak, tiba-tiba dipintas oleh dua lelaki menaiki motosikal.

Menurutnya, apabila mangsa berusia 64 tahun itu memberhentikan keretanya, dua suspek terbabit mengarah­kan mangsa keluar, sebelum memarahinya serta menuduh kononnya, mangsa melanggar motosikal mereka.

Beliau berkata, suspek kemudiannya memaksa mangsa menyerahkan telefon bimbit serta wang berjumlah RM30 sebagai ganti rugi sebelum melarikan diri.

“Mangsa tak puas hati dan kejar kedua-dua suspek sehingga ke Jalan Ipoh. Ketika tiba di hadapan hotel di situ, kenderaan mangsa dan motosikal suspek bergesel, menyebabkan kedua-dua suspek terjatuh.

“Seorang daripada suspek cedera di tangan, manakala seorang lagi yang naik berang bertindak memecahkan cermin tingkap mangsa dengan helmet,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, semalam.

Zakaria berkata, pada masa sama, unit kereta peronda polis melalui kawasan itu dan terus menahan kedua-dua suspek berusia 31 dan 35 tahun itu.

“Semakan awal dapati motosikal suspek adalah motosikal curi dan kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan