Selasa, 25 Oktober 2011

Tetak suami sepupu dengan parang

KUALA TERENGGANU: Seorang kakitangan Majlis Daerah Besut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dakwaan menetak suami kepada sepupunya dengan menggunakan sebilah parang pada 3 Julai lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Abd Halim Abd Samat, 45, dari Kampung Cegar Batang, Jalan Pasir Akar, Jerteh, Besut mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas didakwa menyebabkan cedera parah ke atas Mohd Khafilullah Mat Ayub, 35, menggunakan sebilah parang di tempat letak kereta di kawasan rumah di Kampung Cegar Batang, Jalan Pasir Akar, Besut kira-kira jam 11.30 malam pada 3 Julai lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Rosila Nik menetapkan 3 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sejumlah RM8,000 untuk seorang penjamin.

Pendakwaan di jalankan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud @ Mamat manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama dua lagi lelaki berumur dalam lingkungan umur 40-an menyebabkan cedera parah pada bahagian telinga kanan mangsa yang juga suami kepada sepupunya kira-kira jam 11.30 malam pada 3 Julai lalu.

Bagaimanapun, mangsa yang bekerja sebagai mekanik kenderaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut hanya membuat laporan dua hari selepas kejadian itu yang dipercayai bermotifkan dendam sebelum tertuduh menyerah diri di IPD Besut./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan