Khamis, 20 Oktober 2011

Dua lelaki dan seorang wanita dituduh bunuh kontraktor ladang sawit

SUNGAI PETANI: Dua lelaki dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan membunuh seorang kontraktor ladang kelapa sawit di sebuah hotel di sini bulan lepas.

Norliana Nor Wahi, 32, dari Seberang Jaya, Pulau Pinang; pengawal keselamatan Mohd Azeryee Anuar, 28, dan jurugambar bebas Kamarudin SK Abdul Halim, 29, dituduh membunuh Mohd Nasir Isahak @ Ishak, 35, di Bilik 310, Hotel Park Avenue, Taman Sejati Indah di sini antara 7.04 malam hingga 7.48 malam, 19 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34, akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh. Majistret Mohd Khairul Hafiruddin Ramli menetapkan 30 Nov ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syaiful Akmal Mohd Razi manakala Mohd Azeryee dan Kamarudin diwakili peguam T. Jayaaraj dan Norliana tidak diwakili peguam./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan