Rabu, 19 Oktober 2011

Anggota polis hadapi dua pertuduhan

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap pertuduhan memasukkan dadah jenis Methamphetamine ke dalam badannya.

Bagi pertuduhan pertama Rozali Hassan, 38, didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Brickfields pada 10 pagi, 25 Okt tahun lepas mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.

Rozali, yang kini digantung tugas, juga menghadapi pertuduhan gagal menyerahkan semula sepucuk pistol jenis Stayer bersama 12 butir peluru kepada pegawainya di Stor Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada 8.45 pagi 19 Mei lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 8 (6) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Peguam M. Mathavan, yang mewakili Rozali, merayu dikurangkan wang jaminan RM3,000 dikenakan ke atas tertuduh untuk tuduhan pertama dan RM6,000 tuduhan kedua kerana anak guamnya tidak berkemampuan.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin kemudian membenarkan Rozali diikat jamin RM2,000 bagi pertuduhan pertama dan RM4,000 tuduhan kedua dengan seorang penjamin serta menetapkan 18 Nov untuk sebutan semula kes./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan