Sabtu, 22 Oktober 2011

Lima pelajar hadapi tuduhan cabul rakan

KOTA BHARU: Lima pelajar lelaki tingkatan tiga sebuah sekolah menegah agama di sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana dituduh mencabul seorang rakan perempuan dari sekolah sama, tahun lalu.

Tuduhan terhadap kelima-lima yang berusia 15 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dengan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 akta sama.

Pendakwaan itu dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabilah Nizam di hadapan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor.

Berdasarkan pertuduhan, mereka bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh bersama-sama menggunakan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan gadis seusia mereka itu di sekolah berkenaan antara jam 10 dan 2 petang, 9 Ogos tahun lalu.

Jika sabit kesalahan remaja tersebut boleh diseksa dengan hukuman penjara yang boleh sampai 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Pada prosiding semalam, kesemua yang ditemani penjaga masing-masing itu bagaimanapun merekodkan pengakuan tidak bersalah.

Susulan itu, Muhamad Hafiz menetapkan satu tarikh lain untuk serahan dokumen sementara mereka dibenarkan diikat jamin RM2,000 setiap seorang dengan setiap penjamin.

Kes disambung semula 16 November depan./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan