Isnin, 16 Mei 2011

Suspek bunuh diberkas

SEREMBAN: Dua remaja lelaki ditahan polis, petang kelmarin, kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang wanita muda dan mencederakan ibunya di sebuah kafe siber di Simpang Durian, Jelebu, Khamis lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, dua suspek terbabit masing-masing berumur 16 dan 23 tahun diberkas di sebuah rumah di Temerloh, Pahang, kira-kira jam 4.30 petang. 

“Kedua-duanya rakyat tempatan dan mempunyai hubungan kekeluargaan antara satu sama lain. 

“Kita akan mendapatkan perintah tahanan terhadap suspek di mahkamah hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Karnival Pencegahan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan di Dataran Senawang, dekat sini, semalam. 

Menurut beliau, motif kejadian yang menyebabkan kematian wanita dipercayai warga Indonesia, Christy Erni, 20, serta ibunya, Suminah, 39, yang cedera parah masih dalam siasatan. 

Kata Hamdan, pihak polis juga sedang menyiasat sama ada kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah atau mereka mengenali Christy Erni dan ibunya. 

“Penangkapan dua remaja lelaki terbabit adalah hasil maklumat orang ramai. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. 

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Christy Erni dan Sumarni ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh pengurus kafe siber terbabit. 

Christy Erni meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan, manakala ibunya dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, kini dilaporkan stabil./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan