Selasa, 24 Mei 2011

Rahang retak dibelasah senior

KUBANG PASU: Seorang remaja perempuan yang ditempatkan di sebuah asrama pemulihan akhlak dekat sini, mengalami retak tulang rahang setelah ditendang dan dibelasah oleh dua rakan asrama yang lebih senior pada 18 Mei lalu. 

Berikutan itu, mangsa dimasukkan ke Hospital Jitra pada malam kejadian dan bakal menjalani pembedahan di bahagian pipi dan rahang pada 24 Mei ini untuk rawatan lanjut. 

Kakak mangsa, Noraidawati Rosidi, 25, berkata, adiknya berusia 15 tahun itu dimasukkan ke asrama berkenaan pada awal bulan ini kerana menjadi saksi untuk satu kes di mahkamah. 

Dia hanya mengetahui kejadian itu setelah menerima panggilan telefon adiknya pada 19 Mei lalu dan terkejut mendapati mangsa dimasukkan ke hospital pada malam kejadian. 

“Adik saya mendakwa dia dipukul sebanyak dua kali di dua lokasi dan masa berasingan pada hari yang sama setelah enggan menurut arahan dua rakan senior untuk membasuh pinggan. 

“Kejadian pertama kali berlaku lebih kurang jam 7.40 malam setelah adik saya dipukul di dalam surau sehingga mengalami kecederaan di pinggang. 

“Kejadian kali kedua pula berlaku pada jam 10 malam hari yang sama apabila dia ditendang dua kali serta ditampar dan ditumbuk sebanyak tiga kali,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Jitra di sini, semalam. 

Bapa mangsa, Rosidi Sulaiman, 55, berkata, dia kesal berikutan pihak pengurusan asrama lambat memaklumkan kejadian terbabit selain kecewa dengan kegagalan mereka melindungi anaknya. 

Menurutnya, namun dia bersyukur tempoh anaknya ditempatkan di asrama itu tamat pada hujung bulan ini. 

“Saya telah membuat laporan polis mengenai perkara ini pada 20 Mei lalu dan mahu mereka yang memukul anak saya dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya. 

Sementara itu, mangsa yang merupakan anak kelima daripada lapan beradik berkata, dia dipukul di surau dan di bilik. 

“Saya ada merungut kerana asyik disuruh basuh pinggan mangkuk mereka dan selepas saya masuk ke surau, mereka tampar pipi dan tolak saya hingga terjatuh. 

“Saya dibuli oleh kedua-dua kakak senior terbabit sejak minggu pertama saya di asrama itu, malah saya pernah dipaksa memasukkan berus gigi ke dalam kemaluan. 

“Saya tidak tahan dan tidak mahu berada di sana lagi,” katanya kepada Sinar Harian./Sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan