Jumaat, 20 Mei 2011

Pulanglah SITI

MERSING: Seorang ibu tunggal merayu anak perempuannya agar kembali ke pangkuan keluarga kerana terlalu bimbang akan keselamatan dirinya. 

Ramlah Rashid, 44, berkata, anak perempuan tunggalnya itu, Siti Mariam Bakar menghilangkan diri sejak 14 hari lalu setelah berlaku salah faham dengan abang sulungnya. 

“Memang ada berlaku perselisihan faham yang kecil apabila abangnya menegur kerana dia tidak mahu bersekolah, sebaliknya mahu bekerja. Tidak sangka selepas itu, dia telah menghilangkan diri," katanya ketika ditemui Sinar Harian. 

Menurutnya, pelbagai ikhtiar telah dilakukan mereka sekeluarga termasuk bertanyakan kepada rakan-rakanya sekolah, namun masih belum berhasil. 

“Selepas kehilangannya pada malam itu, saya terus bertanyakan kepada kawan-kawan sekolahnya, namun mereka juga tidak mengetahuinya ke mana anak saya pergi,” katanya. 

Sejak itu, Ramlah langsung tidak menerima sebarang perkhabaran berita mengenai anaknya itu sehingga kini. 

“Sudah dua minggu dia menghilangkan diri tanpa diketahui lokasi dan sebarang berita. Telefon bimbitnya juga gagal dihubungi. 

“Saya amat khuatir dengan keselamatannya memandangkan dia jarang keluar dan tidak suka bersosial. Saya buntu untuk mencarinya di mana lagi. 

“Pulanglah nak, mak terlalu rindukan Mariam,” katanya. 

Katanya, anak lelakinya juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu di balai polis berhampiran. 

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran atau di talian 017- 799 7348./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan