Rabu, 4 Mei 2011

Lelaki ditetak ketika berehat

TAMPIN: Tidak sampai 24 jam sempat berehat di rumah setelah bebas hukuman buang daerah, seorang lelaki menghadapi saat mengerikan setelah ditetak dengan parang oleh dua lelaki bertopeng di rumahnya, Taman Bukit Tampin di sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira 11.45 pagi itu, M Thanabalan, 32, yang sebelum ini dihukum buang daerah selama dua tahun di Kuala Lipis, Pahang, sedang berehat di ruang tamu, didatangi dua penyerang menceroboh rumahnya, kemudian menetak mangsa. 

Akibatnya mangsa cedera parah di kepala kerana tetakan parang itu mengenai tengkorak kepalanya selain cedera di belakang badan dan tangan kiri. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang berkata, dalam kejadian itu mangsa cuba melawan kedua penjenayah terbabit, tetapi tidak berupaya menyelamatkan diri kerana diserang bertubi-tubi. 

“Kedua-dua penyerang bertopeng selepas itu meluru keluar rumah dan melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna perak,” katanya. 

Menurutnya, mangsa berlumuran darah pada awalnya cuba mengejar kereta penyerang itu, tetapi kemudian berhenti di sebuah rumah di taman perumahan terbabit kerana tidak berdaya lalu meminta bantuan. 

Menurutnya, polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima aduan orang awam sebelum membawa mangsa ke Hospital Tampin, bagaimanapun, dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS). 

Mohd Isa berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 kerana menyerang dengan menggunakan senjata tajam dan mendatangkan kecederaan parah./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan