Isnin, 2 Mei 2011

13 tahun di Lombok

LANGKAWI: Seorang wanita yang mengikut teman lelakinya ke Lombok lebih kurang 13 tahun lalu pulang menemui keluarganya malam kelmarin.

Kepulangan Nooriah Abdullah, 26, disambut oleh ibunya, Dayah Sibun, 55, anggota keluarga, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Datuk Nawawi Ahmad dan Ketua Pemuda UMNO Langkawi, Norsaidi Nayan.

Seorang anggota keluarganya berkata, Nooriah menghilangkan diri selepas memberitahu ibunya bahawa dia ingin ke majlis kenduri di Padang Matsirat.

“Nooriah bagaimanapun tidak pulang dan kemudiannya diketahui telah mengikut teman lelakinya yang kini menjadi suaminya ke Lombok dengan menaiki kapal terbang di Johor,” katanya.

Sementara itu, Dayah berkata, mereka sekeluarga telah melakukan pelbagai cara untuk mengesan dan mencari Nooriah tetapi tidak berhasil dan hanya mengetahui bahawa dia berada di Lombok selepas menghantar surat kepada seorang daripada kakaknya.

“Saya sering mimpikan Nooriah dan sejak mengetahui bahawa anak saya akan pulang saya tidak lena tidur.
“Saya terlalu gembira memikirkan bahawa saya akan bertemu semula dengan anak saya setelah 13 tahun terpisah,” katanya.

Noriah yang ditemui wakil Sinar Harian di balai ketibaan kelihatan termangu-mangu seperti tidak percaya bahawa dia telah pulang ke tanah air.
“Saya masih mengingati ahli keluarga dan sentiasa mahu bertemu dengan mereka. “Saya bersyukur kerana dapat bertemu mereka kembali,” katanya.

Nooriah berkata, dia mempunyai dua anak berumur 5 dan 12 tahun yang masih berada di Lombok bersama suaminya.

“Saya masih memikirkan mengenai mereka” katanya.

Noriah memasuki Indonesia menggunakan pasport palsu dan tinggal secara haram di sana.

Ketua Pemuda UMNO Langkawi, Norsaidi Nayan berkata, Pemuda UMNO Langkawi berusaha mengesan Nooriah melalui surat yang dihantar dan menghantar wakil ke Mataram untuk mengesan Nooriah.

“Pemuda UMNO Malaysia telah berusaha selama lebih kurang dua bulan untuk membawa pulang Nooriah ke Malaysia.” katanya.

Menurutnya, melalui bantuan Datuk Khairul Aseh serta kerjasama yang diberikan oleh Kedutaan Malaysia di Indonesia kami berjaya mengesan Nooriah.

“Masalah timbul apabila kami diberi arahan dari pihak berkuasa Indonesia untuk mengeluarkan Nooriah dari Mataram dalam tempoh 24 jam bermula Jumaat lalu kerana Nooriah masuk ke Indonesia secara tidak sah.

“Sekiranya kami gagal berbuat demikian Nooriah akan ditahan dan dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun serta denda 30 juta rupiah,” katanya. 

Kes Nooriah merupakan kes gadis dilarikan ke Lombok yang paling lama iaitu selama 13 tahun.

Ahli keluarga Nooriah berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus berusaha membawa pulang Nooriah ke Malaysia./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan