Jumaat, 27 Mei 2011

Penyamun guna pedang

BACHANG: Tindakan sebuah pengusaha kafe siber di Taman Bachang Baru, di sini membuka operasinya melebihi masa dibenarkan membawa padah apabila premis perniagaan itu disamun ketika hampir waktu subuh, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, seorang pekerja di kafe siber terbabit hanya mampu tergamam selepas mendapati enam penjenayah masuk dengan bersenjatakan pedang samurai. 

Akibatn:ya, sebanyak enam set komputer dalam premis berkenaan dilarikan, selain wang milik pengusaha dan pelanggan di premis berkenaan. 

Difahamkan, pekerja terbabit dikatakan menjaga syif 12 pagi sehingga 12 tengahari dan hari pertama bertugas di situ selepas menerima arahan pertukaran cawangan selama empat hari. 

Rakan mangsa, Muhd Adip Saifullah Ismail, 18, berkata, semasa kejadian, mangsa didatangi dua lelaki memakai topi keledar menyamar sebagai pelanggan yang hendak menggunakan perkhidmatan di kafe tersebut. 

Selang beberapa minit, katanya, seorang lelaki yang menutup sebahagian muka dengan kolar baju berlegar di luar berhada-pan pintu masuk sambil meninjau ke dalam kafe berkenaan. 

“Kemudiaan tiga lelaki lain yang juga memakai topi keledar masuk ke dalam kafe menuju kaunter. Seorang daripada mereka meletakkan pedang samurai di atas meja dan meminta rakan saya membuka mesin wang. 

“Mungkin sebab dalam mesin tu ada RM30 sahaja, lelaki itu beralih kepada seorang pelanggan lelaki di bahagian belakang, sebelum merampas wang RM400 serta telefon bimbit pelanggan terbabit,” katanya. 

Muhd Adip berkata, dalam masa sama, dua lelaki lain dan dua lelaki yang menyamar pelanggan bertindak menanggalkan pe-ralatan komputer di situ sebelum membawa lari. 

“Menerusi kamera litar tertutup (CCTV), saya lihat kawan saya terduduk kaku. Mungkin disebabkan terkejut,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi), Suprintendan R. Gunarajan mengesahkan kejadian itu. 

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan, bagaimanapun polis akan mengambil tindakan ke atas pemilik premis kerana melanggar peraturan menjalankan perniagaan lebih masa. 

Beliau berkata, kes disiasat menikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan