Jumaat, 6 Mei 2011

Lari selepas enam hari nikah

ALOR GAJAH: Taksub dengan laman sosial sehingga membibitkan rasa cinta terhadap seorang wanita, mendorong seorang lelaki terjebak dengan pernikahan ‘sementara’ bersama wanita berkenaan. 

Lelaki berstatus suami dikenali sebagai Farid (bukan nama sebenar), 25, merasa dirinya tertipu dengan sandiwara dilakukan isterinya itu memaksanya menanggung malu. 

Dia hanya suami selama enam hari sahaja sebelum isterinya melarikan diri mengikut kekasih lama. 

Farid yang menceritakan kisah dukanya itu kepada Sinar Harian, semalam berkata, dia tidak menyangka isterinya yang dikenali sebagai seorang wanita lemah lembut bertukar menjadi biadap dan sanggup berlaku curang walaupun belum seminggu bergelar isterinya. 

Dia yang menetap di Temerloh, Pahang dan berniaga sendiri berkata, November tahun lalu, dia mula mengenali isterinya sebelum menyatakan hasrat untuk mendirikan rumahtangga selepas beberapa hari mengenalinya. 

Menurutnya, selepas bertemu buat pertama kali di Kuala lumpur, Farid terus menghantar bakal isterinya balik kampung di Johor dan berjumpa dengan kedua orang tuanya, sebelum keluarga isterinya mencadangkan mereka berdua disatukan. 

“Semasa majlis pertunangan berlangsung, kedua belah keluarga setuju menetapkan tarikh pernikahan pada 27 Mac lalu. Bagaimanapun, beberapa hari selepas itu, bakal isterinya minta tarikh pernikahan dipercepatkan dua bulan lebih awal. 

“Tetapi :selepas enam hari kami bernikah, dia menghilangkan diri. Seminggu selepas itu, saya dapat maklumat dia tinggal bersama kekasih lamanya di sebuah kampung sebelum saya menjemput dan membawanya balik ke rumah,” katanya. 

Bagaimanapun, Farid berkata, dia sempat tinggal bersama isterinya tidak lama apabila isterinya itu kembali meninggalkan rumah semula. 

“Kali ini lebih mengejutkan apabila dia melarikan diri dengan memanjat pagar rumah bersama kekasih lamanya yang bersiap sedia menanti di luar pagar rumah sebelum kedua-dua mereka melarikan diri bersama-sama. 

“Sehingga kini, saya gagal hubungi telefon bimbitnya. Saya ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bertanyakan di mana dia berada sekarang dan minta dia pulang ke rumah, tetapi dia membalas dengan minta saya ceraikan dia,” katanya. 

Farid berkata, dia tidak menghiraukan permintaan isterinya itu kerana berpendapat, antara mereka tidak pernah berbalah kecuali perangai isterinya yang pelik dan agak keterlaluan mendorong isterinya berbuat demikian. 

“Cuma saya rasa tertipu selepas didesak bernikah awal, akhirnya diri teraniaya dan hanya sempat bergelar suami selama enam hari sebelum dia berani mencabar saya untuk memfailkan perkara ini ke Mahkamah Syariah. 

“Saya terpaksa habiskan banyak wang termasuk wang hantaran dan perbelanjaan kenduri kahwin. Kini terpaksa menanggung malu pula. 

“Baru saya sedar, akibat taksub dengan laman sosial, akhirnya saya terperangkap dengan cinta buta yang menjerat kehidupan saya sendiri,” katanya. 

Berikutan kejadian itu, Farid berkata, dia mengambil tindakan undang-undang terhadap isterinya itu di Mahkamah Syariah./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan