Rabu, 9 Februari 2011

Polis Tahan Lelaki Ragut Beg Duit Warga Asing

TELUK INTAN: Seorang lelaki yang dikehendaki polis berhubung kegiatan ragut diberkas selepas dia meragut beg duit seorang lelaki warga asing di Jalan Maharaja Lela, di sini malam Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Supritendan Mohd Zaki Harun berkata, lelaki berusia 30an itu ditahan selepas beberapa orang awam mengejar dan menangkapnya ketika cuba melarikan diri selepas dia meragut beg duit milik seorang warga Bangladesh.
Sebelum itu suspek menghampiri mangsa berusia 24 tahun sambil memperkenalkan dirinya konon sebagai anggota polis lalu merampas dompet berisi wang tunai RM300 milik mangsa sebelum melarikan diri, katanya ketika dihubungi, Selasa.
Mohd Zaki berkata, siasatan polis mendapati suspek positif dadah.
Beliau berkata lelaki berkenaan ditahan reman seminggu dan disiasat dibawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.
Dalam perkembangan lain, polis merampas 40 kilogram daun ketum daripada seorang lelaki yang menjalankan aktiviti menjual daun itu kepada orang ramai.
Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan pada pukul 2 petang oleh pasukan Anti Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak dalam serbuan di rumahnya di Chendrong Balai, Teluk Intan./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan