Jumaat, 18 Februari 2011

Penuntut IPT berhadapan hukuman penjara seumur hidup

KUALA TERENGGANU: Seorang mahasiswa akan berhadapan dengan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan sekiranya didapati bersalah atas tuduhan memiliki pil disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 109 gram pada 2 Februari lalu.

Tertuduh, Che Saiful Syaqwan Che Ngah, 19, dari Kuala Besut bagaimanapun hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tuan Azman Mustapha di Mahkamah Sesyen, semalam.

Tertuduh yang juga mahasiswa semester dua di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di negeri ini didakwa memiliki 990 biji pil disyaki jenis methamphetamine seberat 109 gram di sebuah rumah di Jalan Sekolah, Kampung Beris Cawat, Kuala Besut pada 2 Februari lalu jam 11.10 malam.

Dia didakwa di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 A (2) akta yang sama yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan diwajibkan tidak kurang 10 sebatan rotan.

Hakim menetapkan 19 April ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan