Sabtu, 3 September 2011

Rompakan besar-besaran

PETALING JAYA: Polis tidak menolak kemungkinan enam penjenayah yang ditangkap kelmarin berkait rapat dengan kumpulan perompak yang menyamun besar-besaran sejak 2006 di sekitar Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur.

Difahamkan, kumpulan ini aktif melakukan rompakan besar-besaran ke atas puluhan premis sejak lima tahun lalu dan enam daripada mereka kini ditahan selepas cuba menyamun kedai pajak gadai di Seri Setia, Sungai Way, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pihaknya percaya enam suspek yang ditahan, kelmarin, terbabit dengan kumpulan yang melakukan rompakan besar-besaran di sekitar Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur berdasarkan modus operandi yang digunakan iaitu menebuk lubang menerusi premis bersebelahan.

“Empat daripada enam penjenayah yang ditahan mempunyai rekod jenayah serta dadah lampau manakala dua lagi dikehendaki dalam kes rompakan.

“Keenam-enam mereka berumur antara 32 hingga 53 tahun dan berasal dari Pahang, Johor dan Selangor. Siasatan awal mendapati ada yang mempunyai pekerjaan tetap sebagai tukang urut, penarik kereta serta penjual DVD.

“Suspek ditahan reman selama lapan hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

Menurutnya lagi, satu daripada tiga kenderaan jenis Naza Citra yang digunakan penjenayah terbabit dilaporkan hilang pada 2006 di Sentul, Kuala Lumpur manakala dua lagi iaitu jenis Kia Karnival dan Mercedes-Benz didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu. Sehubungan itu, Tun Hisan menasihatkan peniaga dan orang awam agar memasang alat penggera di premis atau kediaman mereka supaya kejadian seumpama itu dapat dielakkan.

“Saya juga menyeru orang ramai agar lebih prihatin dan berhati-hati sekiranya alat penggera sesuatu premis itu berbunyi dan terus menghubungi polis dengan segera,” katanya./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan