Selasa, 13 September 2011

Guru dituduh cabul pelajar lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang guru sebuah sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan mencabul seorang pelajar lelaki berusia tujuh tahun Mac lepas.

Mohd Sabri Che Bedolah, 34, dari Taman Kajang Utama, Kajang, Selangor, didakwa mencabul kehormatan pelajar itu di tangga sekolah berkenaan pada 12 tengah hari 4 Mac lepas.

Mohd Sabri yang diwakili peguam Wan Ahamad Fadzil Wan Omar didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan, jika disabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Norasyikin Ahmad menawarkan jaminan sebanyak RM11,000 dengan seorang penjamin tetapi Wan Ahamad Fadzil merayu supaya wang jaminan itu dikurangkan kepada RM3,000 kerana anak guamannya terpaksa menanggung anak yang masih bersekolah serta keluarganya.

Majistret Aizatul Akmal Maharani membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 kemudian menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan kes.

Ibu Mohd Sabri membayar jaminan itu./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan