Jumaat, 9 September 2011

Rahsia atas siling terbongkar

SUNGAI PETANI: “Saya diliwat dua kali, kali pertama di atas siling asrama dan kali kedua pada bulan puasa di tandas asrama,” begitulah pengakuan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun ketika ditemu bual Sinar Harian semalam.

Kanak-kanak terbabit menjadi mangsa liwat seorang rakan asramanya sebelum bulan puasa dan pada 20 Ogos lalu dan kini ditempatkan di

Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk siasatan lanjut.

Menurut mangsa, kali pertama dia diliwat oleh rakannya itu di atas siling asrama setelah dipaksa naik ke tempat itu yang difahamkan diletakkan tilam.

“Siling asrama pecah dan ini membolehkan rakan terbabit naik ke atas siling itu. Saya dipaksa naik ke atas siling ketika rakan-rakan lain menonton televisyen.

“Kali kedua, semasa saya membasuh pakaian di bilik air, rakan itu memanggil saya ke tandas dan memaksa saya tanggalkan seluar serta mengugut supaya saya tidak memberitahu sesiapa mengenai perkara itu,” katanya.

Ibu mangsa pula berkata, anak keduanya itu memberitahu diliwat ketika dia pergi ke sekolah anaknya kerana sering berasa runsing selepas menghantar mereka pulang ke sebuah asrama anak yatim di sini, Ahad lalu.

Menurutnya, gerak hatinya yang tidak dapat melelapkan mata pada Ahad lalu membawanya pergi ke sekolah keesokan harinya (Isnin) untuk bertanyakan khabar anaknya itu.

“Saya terkejut apabila anak saya mengaku diliwat tanpa rela oleh rakan asramanya sambil menangis. Dia juga memberitahu saya bahawa dia tidak mahu pulang semula ke asrama anak yatim terbabit kerana takut.

“Saya kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah. Selepas itu terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk membuat laporan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Ong Aik Cheang ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan laporan.

Aik Cheang berkata, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 377(c) Kanun Keseksaan dan suspek direman.

“Sementara ini kita menunggu laporan daripada pihak hospital bagi membantu siasatan dan suspek direman sehingga 12 September ini,” katanya.

Pengarah HSAH, Dr Harif Fadzilah Che Hashim ketika dihubungi berkata, mangsa ditempatkan di Wad Bunga Raya 1 HSAH dan masih dibawah pemeriksaan doktor.

“Pihak kita menjalankan pemeriksaan fizikal dan ujian darah. Untuk sementara waktu ini kita menunggu hasil pemeriksaan.

“Selepas itu, kes ini akan diserahkan kepada Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, penyelia asrama anak yatim berkenaan yang enggan namanya disiarkan ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Menurutnya, setakat ini pihaknya mengambil tindakan terhadap suspek dengan gantung asrama selama sebulan sementara siasatan dijalankan.

“Sekiranya didapati bersalah, pihak kami tidak akan membenarkan suspek ditempatkan di asrama ini lagi,” katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan