Sabtu, 17 September 2011

Bapa dituduh rogol anak tiri

KUANTAN: Seorang bapa berdepan hukuman penjara hingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan melakukan sumbang mahram dengan merogol anak tirinya di rumah mereka di Kampung Cherating dekat sini, 6 September lalu.

Tertuduh yang berusia 34 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam terpaksa meringkuk dalam penjara selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang membantah ikat jamin ke atas lelaki itu atas faktor keselamatan mangsa kerana sebelum ini mereka tinggal bersama.

Tetuduh cuba mencelah merayu supaya dibenarkan ikat jamin bagaimanapun Fathiyah meminta dia memfailkan permohonan yang lengkap berhubung perkara tersebut.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh melantik peguam dalam tempoh sebulan bagi mewakilinya dalam perbicaraan akan datang.

Mahkamah sebelum itu menunggu untuk menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh selepas dia memilih untuk mengaku bersalah.

Bagaimanapun, ketika sidang mahkamah bersambung semula, tertuduh menukar pengakuannya kepada tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Fatiyah berkata, tertuduh berhak berbuat demikian bagaimanapun dia mengingatkan lelaki itu bahawa, jika dia didapati bersalah di akhir kes perbicaraan kelak, tertuduh tidak berpeluang mendapatkan hukuman ringan (minimum).

Sebaliknya tertuduh berkemungkinan berdepan hukuman yang lebih tinggi atau hukuman maksimum yang diperuntukkan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

“Kamu perlu sedar, mengikut seksyen ini, kamu berdepan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan lantikan peguam bagi kes tersebut./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan