Jumaat, 9 September 2011

Guna pisau sayur serang ayah

KOTA BHARU: Seorang anak sanggup menderhaka kepada bapa kandungnya sendiri apabila bertindak menyerang lelaki tua itu dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur ketika mereka berselisihan faham dalam kejadian di Ketereh, enam bulan lalu.

Akibat tindakan ganas lelaki berusia 28 tahun itu, warga emas, Che Hasan Jusoh, 58 mengalami kecederaan sebelum bertindak membuat laporan di balai polis berhampiran.

Susulan dari laporan yang diterima, polis menahan Che Azuan Che Hasan dan siasatan mendapati tertuduh mengaku mencederakan mangsa di alamat Kampung Hutan Pasir, Ketereh pada jam 7.45 malam, 9 Mei lalu.

Majistret Nur Zakiyah Shamsudin dalam keputusannya memutuskan hukuman 10 bulan penjara terhadap tertuduh sebagai balasan daripada perlakuannya itu.

“Hukuman kamu akan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, tertuduh sedang menjalani hukuman bersabit penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 15(a)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kegembiraannya yang bakal dibebaskan esok terbantut akibat hukuman terbaru, semalam.

Sehubungan itu, Che Azuan sekali lagi terpaksa menyambung kehidupannya di dalam penjara akibat kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dilakukannya itu./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan