Selasa, 27 September 2011

Ragut Rantai Leher: Teman Lelaki Ditahan

KUANTAN: Seorang lelaki ditahan selepas teman wanitanya membuat laporan polis berhubung tindakannya meragut rantai leher dan mencuri pemain cakera video digital (dvd) wanita berkenaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Nordin Mustapha berkata mangsa, 43, hanya membuat laporan polis semalam selepas dua minggu merayu teman lelakinya itu memulangkan semula rantai leher dan pemain dvd berkenaan.

"Kejadian ragut itu berlaku pada 11 September lepas apabila teman lelakinya itu datang ke rumah mangsa kira-kira 7.30 pagi sebelum bertindak meragut rantai mangsa dan melarikan pemain dvd milik wanita berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata berikutan laporan itu, polis berjaya menahan suspek, 30, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, di rumah suspek di Batu 3, Jalan Gambang pada Ahad.

"Siasatan awal mendapati rantai leher milik mangsa telah dijual suspek bagaimanapun pemain dvd itu masih disimpannya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

Jumlah kerugian mangsa yang bekerja sebagai pencuci pejabat itu dianggarkan bernilai RM3,000./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan