Rabu, 3 Ogos 2011

Polis buru isteri mangsa

KOTA BHARU: Polis Kelantan kini memburu seorang wanita untuk membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat suaminya yang berusia 56 tahun selepas dipercayai dibunuh dan disumbat di dalam bonet kereta di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang akhir Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng, berkata, wanita yang dikenali sebagai Low Eng Kim, 44, berasal dari Apartment Desa Sri Maju, Pudu Pantai Cahaya Bulan dekat sini diminta tampil segera untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabit kesalahan boleh dihukum sampai mati.

Sehubungan itu, Yong Heng meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi segera balai polis berdekatan atau menerusi talian 09-7450999.

Sebelum ini, beliau berkata, polis sudah mengambil keterangan beberapa saksi selepas mayat ditemui untuk membantu pihaknya menjalankan siasatan.

Pada Mac lalu, mangsa yang juga ahli perniagaan ditemui mati dan disumbat di dalam bonet kenderaan sebelum dijumpai oleh orang awam kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Polis menerima laporan daripada seorang penjual air tebu memaklumkan mengenai penemuan sebuah kenderaan jenis Toyota Vios berwarna hitam yang berada dalam keadaan mencurigakan dan tidak berkunci di kawasan itu.

Hasil pemeriksaan pihak polis yang tiba di kawasan itu kira-kira jam 10 malam membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan