Selasa, 9 Ogos 2011

12 wanita gempar disamun lelaki hitam

KOTA BHARU: Kira-kira 12 wanita Cina yang melakukan aktiviti tarian bertempiaran, termasuk menyorok bawah meja apabila mereka didatangi seorang lelaki bersenjatakan objek keras dalam kejadian samun di tingkat tiga sebuah bangunan di Jalan Che Sue, dekat sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, lelaki berkulit hitam berusia dalam lingkungan 20-an itu, berjaya melarikan dua daripada lima beg tangan yang disamun selepas memecah masuk bangunan itu melalui pintu hadapan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, berikutan kejadian itu, salah seorang mangsa yang berusia 52 tahun membuat laporan polis.

Beliau berkata, beg tangan yang dilarikan lelaki itu mengandungi wang tunai RM200 serta pelbagai dokumen penting.

Katanya, sebelum kejadian, lelaki terbabit dikatakan memecah pintu hadapan di tingkat tiga bangunan berkenaan dengan menggunakan objek keras dipercayai kayu sebelum menyerbu masuk.

“Menyedari kehadiran lelaki terbabit, semua wanita itu bertempiaran lari sambil menjerit dan ada beberapa mereka sempat menyorok di bawah meja kerana terlalu takut.

“Lelaki terbabit sempat menarik lima beg tangan yang berada di dalam bilik berkenaan, bagaimanapun tiga daripadanya gagal dilarikan suspek itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam tempoh beberapa minit, lelaki terbabit melarikan diri dan mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu.

Katanya, sebaik menerima laporan, polis melancarkan gerakan memburu suspek dan hasil keterangan mangsa pihaknya membuat fotofit suspek untuk memudahkan pihaknya menjalankan siasatan.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dengan menggunakan senjata.

Sehubungan itu, Azham meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi segera balai polis berdekatan atau menerusi talian 09-7752200.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan serius berhubung kejadian berkenaan kerana tidak mahu melihat masyarakat takut untuk melakukan sebarang aktiviti harian./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan