Sabtu, 20 Ogos 2011

Lelaki ditemui mati dengan kesan cekik di leher

NIBONG TEBAL: Seorang nenek yang ingin ke pasar terkejut selepas menemui mayat seorang lelaki yang terlentang dalam sebuah parit di jalan masuk ke Kampung 3 Kongsi berhampiran Taman Tasek Mutiara, Simpang Ampat dekat sini, pagi ini.

Warga emas berkenaan, dikenali sebagai Teh, 60-an, menemui mayat itu pada 7 pagi dan bergegas ke pasar raya Taman Tasek Mutiara untuk memaklumkannya kepada orang ramai yang kemudian menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Shafien Mamat berkata M.Asokumaran, 31, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan masih bujang, dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan itu.

Beliau berkata terdapat beberapa kesan di leher Asokumaran, dipercayai akibat dicekik, manakala dompet yang mempunyai pengenalan mangsa berada di poket seluar.

"Kita percaya mangsa yang tinggal di Taman Puteri Gunung di sini, telah dibunuh lebih enam jam sebelum ditemui oleh warga emas berkenaan," katanya.

Shafien berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mari, 60-an, berkata Asokumaran keluar dari rumah dengan menunggang motosikal jenis Kriss.

"Saya tidak pasti beliau keluar petang atau malam semalam kerana saya bekerja, dan dia juga tidak menunjukkan sebarang perubahan," katanya yang sedih dengan kejadian itu./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan