Khamis, 25 Ogos 2011

Maut ditembak jarak dekat

TAIPING: Seorang lelaki maut ditembak dari jarak dekat seorang individu yang menaiki sebuah motosikal di hadapan sebuah restoran di Simpang, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, mangsa R.Tamilvaanan, 26, yang cedera di badan mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Taiping.

“Kejadian berlaku pada jam 6.50 petang ketika mangsa seorang diri berada di hadapan restoran berkenaan sebelum dihampiri seorang lelaki bersenjatakan pistol lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya.

“Polis yang berkejar ke tempat kejadian selepas menerima laporan daripada orang awam mendapati mangsa terbaring dengan kesan kecederaan di beberapa anggota badan dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Taiping,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Katanya, ketika kejadian beberapa pelanggan restoran lari bertempiaran menyelamatkan diri.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa pernah diambil tindakan di bawah Perintah Sekatan di Shah Alam selama dua tahun.

“Motif pembunuhan belum dapat dipastikan tetapi dipercayai ada kaitan dengan kes pengedaran dadah.

“Suspek terbabit memakai topi keledar berwarna putih dan berbadan gempal,” katanya.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Taiping di nombor telefon 05-8291222 untuk membantu saisatan./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan