Jumaat, 26 Ogos 2011

Dicekup ketika lepas rindu

GEORGETOWN: ‘Dia baru balik dari Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), kami dah lama tak jumpa, mungkin kami berpeluk sebab rindu ustaz’, demikian pengakuan dua remaja yang dicekup Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp).

Ketika ditahan pada jam 3.20 pagi itu, kedua-duanya duduk di tepi pantai yang agak gelap dan jauh daripada pandangan orang awam.

Namun lokasi mereka berjaya dijejaki penguat kuasa Jaipp apabila dalam keadaan gelap kelihatan sebuah motosikal dan dua helmet, tetapi yang menjadi tanda tanya apabila penguat kuasa tidak dapat melihat sesiapapun di lokasi berkenaan.

Kemudiannya, kelihatan pasangan kekasih yang duduk berdua-duaan dengan keadaan duduk dan si lelaki memeluk pasangan wanitanya dari arah belakang.

Si gadis yang baru sahaja berusia 18 tahun mengakui sudah mengenal teman lelakinya itu sejak tujuh tahun yang lalu, dan mengambil kesempatan pada malam berkenaan kerana sudah lama tidak bertemu selepas menjalani latihan PLKN.

Dia yang juga anak yatim piatu itu mengakui lelaki berkenaan hanya memegang pinggangnya dari arah belakang dan meluahkan rasa rindu.

“Kami sudah lama tidak berjumpa, sebab itu sahaja kami duduk di sini,” katanya ketika ditanya penguat kuasa.

Si lelaki kemudiannya ditanya sama ada tidak bimbang sekiranya dirompak atau disamun kerana duduk di dalam gelap, namun dia hanya terdiam membisu sahaja.

Setelah beberapa lama ditanya, remaja lelaki berkenaan juga diminta supaya membacakan dengan jelas niat berpuasa, namun mungkin kerana masih terkejut akibat dicekup, dia tergagap-gagap membacakan niat puasa berkenaan.

“Kamu berkawan dengan dia terlalu lama sampai tujuh tahun, kenapa kamu tidak berkahwin dengan dia sahaja kalau kamu beri dia pegang badan kamu,” tanya seorang penguat kuasa.

“Saya tidak bagi dia pegang semua,” jawab gadis tersebut.

“Tetapi mula-mula pegang pinggang, nanti kalau kamu seronok kamu bagi pegang tempat lain pula,” tambah penguat kuasa lagi.

“Tidak, saya tak akan bagi dia pegang,” jawab si gadis kembali.

Hadir sama dalam Ops Santai 3 itu juga ialah Ketua Unit Operasi dan Penguat kuasa Jaipp, Khairul Azman Azizan dan hampir 14 anggota.

Kemudiannya, kedua-dua pasangan berkenaan diberikan notis mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan melakukan perbuatan kurang sopan di tempat awam, jika disabitkan atas kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara enam bulan./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan