Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Nur, 22, dikatakan ditikam sebanyak empat kali oleh seorang lelaki yang datang ke kedai dobi milik kakak mangsa.
Suspek yang berusia lingkungan 20-an pada mulanya dikatakan ke kedai itu dan berlagak sebagai pelanggan dengan bertanyakan harga yang dikenakan untuk mencuci langsir.
Mengimbas kembali kejadian yang berlaku, Nur berkata, dia kemudiannya menghubungi kakaknya untuk bertanyakan hal berkenaan, bagaimanapun belum sempat talian diputuskan, lelaki berkenaan bertindak merampas telefon tersebut.
Katanya, dalam sekelip mata, lelaki itu masuk ke kaunter sambil mengacukan pisau menyuruh dia ke belakang kedai, bagaimanapun dia enggan menyebabkan suspek menikam rusuk kirinya sebanyak dua kali.
“Dalam keadaan itu, saya menggunakan kudrat yang ada untuk mempertahankan diri kerana percaya lelaki itu cuba melakukan perkara yang tidak baik.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kakak sempat mendengar sayup-sayup saya meminta tolong di hujung talian ketika telefon dirampas lelaki itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Taiping, semalam.
Katanya, dia yang enggan memberi peluang kepada lelaki itu menyebabkan suspek bertindak ganas dengan menikamnya kali ketiga dan keempat.
“Tikaman yang keempat itu mengenai bahagian tisu rusuk kiri saya menyebabkan pisau itu melekat di situ.
“Takut dengan keadaan itu, lelaki tersebut keluar dari kedai dan sempat mengambil beg duit dan juga telefon bimbit saya,” katanya.
Katanya, dalam keadaan panik, dia berlari keluar untuk meminta pertolongan, bagaimanapun, tiada siapa mendekati kerana ngeri melihat keadaannya yang masih tertusuk pisau.
“Kakak dan abang ipar yang datang ke kedai terkejut melihat saya berlumuran darah segera membawa saya ke hospital sebelum kami membuat laporan polis pada hari kejadian,” katanya.
Difahamkan setelah doktor membuat imbasan di bahagian rusuknya, didapati tikaman yang terakhir mengenai paru-parunya tetapi tidak serius.
Nur berkata, sebelum ini kakaknya pernah melihat orang yang tidak dikenali berlegar-legar di kawasan itu tetapi tidak mengesyaki apa-apa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, kejadian berlaku jam 12.30 tengah hari dan mengesahkan mangsa ditikam sebelum suspek melarikan diri dengan mengambil beg duit berisi wang tunai RM15 dan juga telefon bimbit mangsa.
Beliau berkata, hasil siasatan di tempat kejadian, polis turut menjumpai sebilah pisau lipat.
“Kita sedang menjejaki suspek berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta segera menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan