BUKIT MERTAJAM: Seorang pemilik ladang ternakan ayam, ditemui mati dengan lehernya dijerut dan tangannya diikat dalam satu kejadian bunuh di rumahnya di Taman Impian, Alma di sini pada Selasa.
Mayat mangsa Chan Boon Kian, 49, ditemui terbaring di atas lantai bilik utama yang terletak di tingkat atas rumahnya oleh pekerja mangsa yang datang mencarinya di rumah pada pukul 11.40 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Supt Baharudin Mustapha berkata siasatan awal mendapati tiada kesan rumah berkenaan dipecah masuk dan barang-barang milik mangsa juga tidak hilang.
"Kita difahamkan ketika kejadian mangsa berseorangan di rumah dan siasatan lanjut sedang dijalankan sama ada berlaku pergelutan sebelum kejadian memandangkan keadaan bilik mangsa didapati sedikit berselerak.
"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tangannya terikat dengan beberapa kesan kecederaan. Setakat ini, kita belum tahu motif kejadian dan menunggu laporan patologi," katanya kepada pemberita di sini.
Baharudin berkata polis juga akan mengambil keterangan daripada saksi yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan bagi membantu siasatan.
Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.
Sementara itu isteri Chan yang enggan namanya disiarkan mendakwa suaminya ada memberitahu dia diekori seorang lelaki pada malam Rabu dan Khamis lepas.
"Beberapa hari lepas suami ada beritahu dia diekori seorang lelaki bermotosikal hingga ke rumah. Saya bimbang dengan keadaan itu dan memintanya tinggal bersama saya dan anak-anak di rumah baru, tetapi dia tetap mahu tinggal di rumah lama kami," katanya.
Beliau berkata suaminya tinggal di rumah berkenaan seorang diri selepas dia dan anak-anaknya berpindah ke kediaman baru yang terletak di taman yang sama.
"Saya ada nasihat suami agar pulang ke rumah baru kami yang terletak tidak jauh dari situ, namun, beliau enggan atas alasan tiada orang menjaga rumah lama kami yang dihuni sejak 11 tahun lepas," katanya.
Beliau yang masih terkejut dengan kejadian itu berkata dia tidak tahu bagaimana kejadian bunuh itu boleh berlaku kerana suaminya yang juga Pengerusi Bomba Sukarela Taman Impian tidak pernah mempunyai musuh./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan