Selasa, 22 Mei 2012

Pembantu kedai ditikam bapa sendiri


IBRAHIM menunjukkan kereta Perodua Alza yang menjadi punca seorang bapa sanggup menikam anaknya sendiri di Taman Dahlia, Tampoi kelmarin.

JOHOR BAHRU - Berang dengan permintaan anak supaya mengalihkan kereta di satu kawasan lapang, seorang lelaki yang telah menduda sejak 20 tahun tergamak menikam anak kandungnya di Jalan Dahlia 19, Taman Dahlia, Tampoi di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, Muhammad Afiq Zainuddin, 22, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan cedera di belakang badan akibat ditikam dengan pisau pemotong sayur.

Kejadian tidak diduga itu dikatakan berlaku apabila Muhammad Afiq yang baru pulang dari tempat kerja kira-kira 100 meter dari rumah meminta bapanya untuk mengalihkan kereta Perodua Alza yang diletakkan di tempat letak kereta jiran. Kereta tersebut milik bapa mangsa.

Mengikut abang suspek, Ibrahim Hassan, 50, dalam keadaan tidak berpuas hati, lelaki yang berusia 48 tahun itu mengalihkan kereta tersebut.

Selepas mengalihkan kenderaan, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan masih tidak dapat menahan kemarahan sehingga tercetusnya pertengkaran antara dua beranak itu di tempat letak kereta berkenaan.

Cerita Ibrahim, pertengkaran antara mereka berterusan sehingga ke dalam rumah menyebabkan suspek hilang pertimbangan lalu mengambil pisau pemotong sayur dan menikam anaknya./kosmo










Tiada ulasan:

Catat Ulasan