Sabtu, 19 Mei 2012

Ibu mertua dituduh cuba bunuh menantu

Dituduh cuba bunuh menantu
Wai Chee (kiri) dan kakaknya, Wai Mei (tengah) diiringi anggota polis semasa tiba di pekarangan Mahkamah Butterworth semalam.
BUTTERWORTH: Seorang ibu mertua mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan cuba membunuh menantu secara menikam dan membakarnya dengan petrol, awal bulan ini.

Bukan warga emas itu, Lee Wai Chee, 60, seorang sahaja namun kakaknya, Lee Wai Mei, 63, juga dituduh melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa.

Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka secara bersama-sama cuba membunuh Yeoh Kar Tin, 42, di blok S, Jalan Jenahak, Taman Tun Hassan, Bukit Mertajam dekat sini, 8 Mei lalu.

Pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan khianat ke atas mangsa dan kali ini pertuduhan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau 20 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ramlan manakala dua beradik itu diwakili peguam Mok Yee Yew dan Christine Khoor.

Prosiding dijalankan hadapan Hakim Ikhmal Hishan Ahmad Tajuddin yang kemudian, memerintahkan Wai Chee supaya menjalani rawatan mental di Hospital Tanjung Rambutan sementara Wai Mei diberikan jaminan­ RM30,000.

Kes disebut semula pada 16 Jun depan.

Kedua-dua beradik itu didakwa melakukan kesalahan tersebut kira-kira jam 4 petang, 8 Mei lalu.

Difahamkan, kejadian tersebut disedari jiran terdekat yang kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat. Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedar diri./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan