Orang ramai membantu mangsa yang cedera ditetak peragut di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
KOTA BHARU: Seorang pembantu klinik swasta hampir putus pergelangan tangan kirinya selepas ditetak salah seorang daripada dua peragut di hadapan sebuah pusat jualan tudung di Jalan Sultanah Zainab di sini, hari ini.
Kejadian yang berlaku pada jam 1.30 petang itu berlaku ketika mangsa Rohaini Abdullah, 36, sedang berjalan kaki seorang diri di hadapan pusat jualan berkenaan untuk ke tempat letak keretanya, yang tidak jauh dari situ.
Ketika melalui jalan tersebut, dua peragut menghampiri mangsa dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan salah seorang dari peragut tersebut bertindak menetak mangsa menggunakan objek tajam.
Difahamkan mangsa yang berasal dari Kampung Pintu Geng di sini baru sahaja menamatkan kerja shif siang sebelum kembali semula untuk shif malam.
Ibu kepada dua cahaya mata yang pengsan selepas kejadian itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan.
Saksi kejadian, Hidayah Daud, 21, berkata kejadian itu berlaku di hadapan pusat jualan tudung berkenaan yang merupakan tempat dia bekerja.
“Ketika kejadian saya lihat peragut berkenaan menarik beg tangan mangsa namun tidak berhasil apabila mangsa berjaya menariknya.
“Selepas itu mangsa mula menjerit meminta tolong dan pergelutan di antara mereka kemudian terus berlarutan sehingga ke tepi jalan,” katanya.
Hidayah berkata, menyedari mangsa masih tidak melepaskan beg tangannya, peragut berkenaan seterusnya bertindak ganas dengan menetak pergelangan tangan kiri mangsa.
“Mangsa ditetak lebih tujuh kali sehingga terjatuh dan masa itu darah telah berlumuran pada tangan mangsa. Selepas itu peragut tersebut telah bertindak melarikan diri dengan membonceng motosikal yang ditunggang seorang lagi rakanya yang sudah menunggu apabila menyedari kehadiran orang ramai di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, peragut tidak sempat melarikan barangan berharga daripada mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan serius iaitu luka sedalam 38 sentimeter dan putus urat pergelangan tangan kiri.
Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan serta meminta orang ramai tampil membantu siasatan./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan