Seorang lelaki berusia 35 tahun yang memecah masuk asrama sebuah sekolah agama swasta di Jalan Sultanah di Alor Setar hari ini, mati setelah dibelasah sekumpulan pelajar lelaki sekolah itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, suspek, seorang penagih dadah, dikatakan memecah masuk asrama itu dan mencuri telefon bimbit dan sebuah beg, tetapi disedari oleh sekumpulan pelajar yang kemudiannya bergelut dengan lelaki itu untuk menangkapnya.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata pergelutan antara kumpulan pelajar berusia awal 20-an dengan suspek, menyebabkannya mengalami kecederaan dalaman dan patah tulang rusuk kiri.
Beliau berkata suspek yang dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan disahkan meninggal dunia kira-kira 2 petang.
"Satu laporan polis mengenai kejadian tersebut dibuat oleh pelajar terbabit dan masih menunggu laporan hasil bedah siasat terhadap suspek," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.
Adzaman berkata berdasarkan rekod, suspek mempunyai empat kes jenayah lampau iaitu pada tahun 2006 termasuk satu kes curi dalam kediaman.
Katanya setakat ini polis belum menahan mana-mana pelajar untuk memberi keterangan sehingga keputusan hasil bedah siasat ke atas suspek diperoleh./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan