Rabu, 15 Ogos 2012

Nyaris menjadi mangsa rogol selepas dilarikan dua lelaki

Che Mahazan (tengah) menunjukkan antara senjata yang berjaya ditemui dalam kejadian berkenaan.
Che Mahazan (tengah) menunjukkan antara senjata yang berjaya ditemui dalam kejadian berkenaan.
KOTA TINGGI: Seorang gadis nyaris menjadi mangsa rogol selepas dilarikan dua lelaki, malam 12 0gos, lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa berumur 15 tahun bersama rakan lelakinya yang berada di Dataran Tasik Bandar Penawar didatangi dua suspek menaiki sebuah kenderaan jenis Proton Perdana berwarna hitam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Che Mahazan Che Aik berkata, pihaknya menerima aduan daripada rakan lelaki mangsa yang berumur 17 tahun kira-kira 9.20 malam, hari sama.

Menurutnya, pengadu memberitahu, rakan wanitanya dipaksa masuk ke dalam kereta oleh suspek yang turut mengugut menggunakan senjata parang.

“Ekoran itu, polis melancarkan operasi mengesan dan dalam tempoh kurang satu jam, kenderaan dinaiki suspek dilihat berada di Jalan Mawai, di sini.

“Polis mengejar sejauh 15 kilometer sehingga di Taman Sri Saujana sebelum kenderaan suspek berhenti kerana panik dikepung dan mangsa berjaya melompat keluar,” katanya pada sidang media, semalam.

Che Mahazan berkata, bagaimanapun, lelaki berkenaan sekali lagi memecut kenderaan mereka sebelum hilang kawalan dan terbabas di bandar Kota Tinggi.

“Dalam masa kurang sejam laporan dibuat, polis berjaya menahan pemandu kenderaan berumur 26 tahun yang didapati positif dadah jenis heroin," katanya.

Beliau berkata, polis mencari seorang lelaki berumur 25 tahun bagi membantu siasatan dengan alamat terakhirnya adalah di Felda Semenchu.

“Lelaki berkenaan mempunyai lima rekod jenayah lampau termasuk kes rogol, curi kenderaan, curi dalam bangunan selain dikehendaki dalam satu kes ugutan jenayah dan memiliki senjata merbahaya,” katanya.

Jelasnya, polis turut menemui senjata yang digunakan suspek antaranya pistol tiruan, parang panjang, pisau Rambo dan pisau pendek selain turut menjumpai barang lain iaitu anak kunci motor, dompet berisi kad ATM dan wang kertas RM13.

Katanya, kenderaan yang digunakan suspek juga dilaporkan dicuri pada 11 Ogos lalu, di Sungai Rengit.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 376 kanun sama./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan