PETALING JAYA: Gara-gara menumbuk dan membaling serbuk cili ke mata suami, seorang ahli perniagaan wanita didenda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret K.B.Elena Hong Tze Lan menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati Rasidah Rahmathullah, 39, bersalah mencederakan Mohamed Nasser Abdul Razak, 42, yang kini bekas suami wanita itu.
Elena berkata pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah.
Rasidah didakwa mencederakan Mohamed Nasser, seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di sebuah jabatan kerajaan, dengan menumbuk dan menampar muka serta membaling serbuk cili di kediaman mereka di Jalan USJ 1/4F, Subang Jaya, dekat sini, pada 3 petang, 19 April 2010.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahida Wan Omar.
Rasidah kemudian menjelaskan denda itu.
Dalam pada itu, mengikut rekod mahkamah, Mohamed Nasser pernah didakwa atas tuduhan menggigit bahu Rasidah pada masa dan tempat yang sama, di Mahkamah Majistret Tiga di sini.
Dia tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan ia kini masih dalam perbicaraan di peringkat pendakwaan./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan