Khamis, 30 Ogos 2012

Mayat ditemui dipercayai dibunuh

SHAH ALAM: Mayat seorang lelaki yang hanya berseluar dalam, dipercayai dibunuh, ditemui dalam Sungai Klang di Jalan Pelabuhan Utara-Pelabuhan Klang, Jumaat lalu.

Mayat lelaki itu ditemui orang awam yang melalui kawasan tersebut kira-kira jam 4.15 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, mayat yang mereput dan kembung itu tersangkut pada tebing sungai.

“Mangsa dipercayai dibunuh seminggu lalu dan didapati terdapat kesan kecederaan di belakang badannya.

“Bagaimanapun laporan bedah siasatan tidak dapat mengenal pasti punca kematiannya berikutan keadaan mayat yang mereput,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Menurutnya, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri milik mangsa di lokasi kejadian.

“Mangsa hanya memakai seluar dalam saiz s, jenama V Camel berwarna kuning cair,” katanya.

Beliau berkata, motif dan lokasi sebenar pembunuhan mangsa disiasat.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

"Sesiapa kehilangan ahli keluarga boleh hubungi balai polis berhampiran ," katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan