Rabu, 4 Januari 2012

Mangsa diperkosa sebelum dibunuh

IPOH: Hasil bedah siasat ke atas mayat wanita yang ditemui berbungkus dengan selimut di tepi Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, petang kelmarin mendapati mangsa dirogol terlebih dulu sebelum dibunuh dan dicampak di lokasi berkenaan.

Mangsa berusia antara 25 dan 30 tahun itu turut hancur di bahagian mukanya akibat disimbah cecair asid selain mengalami kecederaan di beberapa anggota badan termasuk kepala akibat dipukul benda tumpul.

Akhbar ini semalam melaporkan sekumpulan penduduk Orang Asli yang memburu dan mengutip hasil hutan terkejut apabila terserempak mayat mangsa kira-kira jam 2 petang, kelmarin berhampiran perkampungan Orang Asli Kampung Juang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pihaknya belum memperoleh identiti mangsa, malah sedang berusaha mengesannya menerusi maklumat data orang hilang.

Beliau berkata, pihaknya turut mengesahkan mangsa sudah mati dalam tempoh tiga hari lalu sebelum mayatnya dicampak di laluan berkenaan.

“Kami juga sudah menghantar DNA mangsa ke makmal untuk mengenal pasti identiti mangsa. Selain itu, kami juga akan meneruskan siasatan terperinci untuk mengesan suspek yang terbabit dalam pembunuhan itu.

“Siasatan awal polis mengesyaki mangsa dibunuh dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, pihaknya juga meminta kepada sesiapa yang kehilangan ahli keluarga supaya dapat menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan