Rabu, 11 Januari 2012

Kekasih didakwa bunuh Rozana


MUHAMMAD ZAL dan Muhammad Faizul (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang semalam atas tuduhan membunuh Rozana.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dikatakan kekasih kepada Rozana Mohd. Yusak yang ditemui mati dengan 20 kesan tikaman di rumah sewanya pada Disember lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang dekat sini semalam atas tuduhan membunuh mangsa.

Turut didakwa bersama Muhammad Faizul Mohd. Ali, 27, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ialah rakannya, seorang penganggur, Muhammad Zal Haziq, 23. Muhammad Zal mempunyai tatu pada kedua-dua belah lengannya.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang memberitahu mereka memahami pertuduhan tersebut.

Faizul dan Zal didakwa mempunyai niat bersama membunuh Rozana, seorang kerani bank, di rumah No. B-010-15F, Jalan Puncak Desa 2, Kepong dekat sini antara pukul 12 tengah malam dan pukul 1.15 pagi, 21 Disember 2011.

Kedua-dua tertuduh berhadapan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Hamzah memohon tempoh bagi mendapatkan laporan bedah siasat, laporan forensik dan juga surat izin untuk mendakwa.

Majistret Mohd. Isa Md. Noor menetapkan pada 28 Februari depan untuk sebutan semula kes itu.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam dan tidak dibenarkan ikat jamin.

Kelibat ahli keluarga mangsa dan kedua-dua tertuduh tidak kelihatan di mahkamah./kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan