Rabu, 4 Januari 2012

Lelaki warga Indonesia mati ditikam

KUALA LUMPUR: Akibat dendam dan cemburu, seorang lelaki warga Indonesia mati selepas ditikam lelaki tidak dikenali di tepi jalan berhampiran rumahnya di Lorong Keramat 7 di sini hari ini.

Mangsa yang berumur dalam lingkungan 40-an itu ditikam di bahagian bawah pusat dan belakang badannya dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa dikatakan sedang menunggu isterinya untuk pergi bekerja di Pasar Datuk Keramat dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 7.30 pagi itu.

Saksi memberitahu polis, seorang lelaki memakai kemeja-T berwarna putih dan memakai topi keledar penuh, menunggang motosikal dilihat menghampiri mangsa yang berdiri di tepi jalan dan kemudian bertindak menikam mangsa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi hari ini berkata, motif pembunuhan dipercayai ada kaitan dengan dendam dan cemburu.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan