MELAKA: “Hanya Tuhan mengetahui perasaan saya yang menangis hampir setiap hari dan tidak berselera makan kerana memikirkan nasib dan keselamatan dirinya,” kata Jamiah Md Deris, 66.
Cucunya, Muhammad Haiqal Fuzi, 10, menghilangkan diri dipercayai lari dari sebuah pusat tahfiz di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, bersama seorang pelajar lelaki lain berusia 16 tahun, sejak 22 Februari lalu.
Menurut Jamiah, anak bongsu daripada empat beradik yang berada di bawah jagaannya sejak kecil itu dihantar ke pusat berkenaan pada hujung November tahun lalu, bagi memastikannya mendapat pendidikan agama sempurna.
“Sepanjang dia (cucu) di sana, saya hanya berkesempatan menjenguknya sebanyak tiga kali dan mendapati keadaannya baik.
“Kali terakhir kami bertemu apabila dia dihantar pulang oleh guru pusat berkenaan untuk bercuti empat hari sempena sambutan Tahun Baru Cina lalu.
“Bagaimanapun, selepas lebih dua minggu meneruskan pengajian di situ, saya terkejut apabila dimaklumkan dia melarikan diri bersama seorang rakannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Cempaka, Peringgit, di sini, semalam.
Kata warga emas itu, pihak pusat tahfiz turut mencari kedua-dua mereka namun gagal.
“Kami sekeluarga mencari dia di semua kawasan, termasuk berikhtiar menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional, namun masih tidak menemuinya sehingga ke hari ini,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kuala Pilah.
Menurutnya, sejak cucunya menghilang, dia sering menitiskan air mata berikutan terlalu bimbangkan keselamatannya.
“Sehingga kini, perasaan saya sentiasa bercelaru sehingga tidak lalu makan kerana memikirkan apa yang berlaku terhadap dia yang masih kecil.
“Saya bimbang dia tersesat atau dipergunakan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan ke asas dirinya,” katanya.
Sehubungan itu, Jamiah merayu orang ramai yang mengetahui atau terserempak dengan Muhammad Haiqal supaya menghubunginya 017-6147149/ 017-6577054 atau mana-mana balai polis berhampiran./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan