Rabu, 9 Mac 2011

Mangsa sempat hubungi anak

KUALA TERENGGANU: Seorang pekebun maut setelah bertarung nyawa beberapa jam, dipercayai terkena peluru sesat dalam kejadian di Bandar Al-Muktafi Billah Syah (AMBS), Dungun, malam kelmarin. 

Mangsa, Mamat Che Ghani, 61, dikatakan keluar dari rumah kira-kira jam lapan malam bagi melihat kerbau peliharaannya di kebun, sebelum rebah kira-kira jam 10 malam setelah terkena tembakan pada bahagian perutnya. 

Dia bagaimanapun sempat menghubungi anaknya, Rohayati, 31, sebelum ditemui dalam keadaan berlumuran darah, sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan AMBS. 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan lanjut tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 10.45 pagi semalam. 

“Polis telah menahan empat lelaki berusia 34 hingga 59 tahun bagi membantu siasatan. Mereka ditahan pada jam 1.45 pagi semalam, berhampiran kawasan kejadian. 

“Mereka dipercayai baru pulang dari memburu. Hasil pemeriksaan, polis telah merampas selaras senapang patah dan satu kelongsong peluru daripada seorang lelaki itu. Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. 

Sementara itu, anak mangsa, Azhar Mamat, 36, ketika ditemui di HSNZ berkata, bapanya sempat memberitahu adik perempuannya iaitu Rohayati bahawa dia telah ditembak. 

Menurutnya, mangsa mengalami banyak pendarahan dan mengalami luka sepanjang lima sentimeter pada bahagian perut./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan