Warga Kanada berusia 48 tahun yang ditemui mati tergantung di balkoni
Kekasih mangsa, Michael Dellotineville kelihatan sugul menerima berita kematian teman lelakinya.
SUBANG JAYA: Penduduk sebuah kondominium di kawasan SS12 di sini gempar apabila seorang lelaki, warga asing, ditemui mati tergantung di luar bahagian balkoni tingkat 5, kira-kira jam 7.30 pagi tadi.
Difahamkan, mangsa yang juga seorang pensyarah sebuah kolej swasta di Subang Jaya sebelum itu dikatakan merayau-rayau di tingkat bawah kondominium sebelum mayatnya ditemui.
Mangsa, warga Kanada berusia 48 tahun juga dikatakan meninggalkan sekeping nota di rumahnya.
Dia dipercayai berhadapan dengan masalah cinta.
Difahamkan, mayat mangsa yang tergantung di tingkat lima pangsapuri itu ditemui penduduk yang tinggal berdepan dengan kediaman dihuni sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden kira-kira jam 8.20 pagi semalam.
Katanya, mangsa ditemui sudah tidak bernyawa dengan leher dijerut dengan kain dipercayai langsir di luar beranda rumah yang disewa sejak empat tahun lalu.
Beliau berkata, rumah mangsa dikunci dari dalam namun segugus kunci ditemui di dalam kasut yang tersusun di depan pintu berkemungkinan untuk memudahkan pihak polis masuk ke dalam rumah mengambil mayatnya.
Menurutnya, pihak polis percaya perselisihan faham dengan teman wanita warga Canada berusia awal 30-an menjadi punca mangsa mengambil keputusan berkenaan.
“Mangsa yang sudah bercerai dengan isterinya di Canada tinggal seorang diri di apartment itu dan bekerja sebagai pensyarah di sebuah kolej sejak empat tahun lalu.
“Kita percaya mungkin berlaku perselisihan faham antara dia dan teman wanitanya berdasarkan tulisan nota ditinggalkan yang ditujukan kepada wanita itu. Mangsa meminta teman wanitanya tidak membangkitkan tindakannya dan tidak mengingatinya lagi,”katanya.
Yahaya berkata, sekeping lagi nota turut ditemui di atas meja makan dalam rumah berkenaan yang ditujukan kepada lima anak mangsa masing-masing tiga perempuan dan dua lelaki yang dikatakan menetap di Canada. Anak mangsa berusia antara 15 dan 20 tahun.
Katanya lagi, tiada laporan menunjukkan mangsa mempunyai masalah mental namun insiden menjurus kepada tekanan yang dialami daripada teman wanitanya.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah lain,kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat,”katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan