BESUT: Lelaki yang pernah menggemparkan daerah ini kerana ditangkap penduduk gara-gara disangka pencuri ketika melepaskan diri daripada dicekup suami kekasihnya, didenda RM2,500 oleh Mahkamah Rendah Syariah Besut, di sini.
Hukuman dijatuhkan setelah Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof berpuas hati terhadap pengakuan salah tertuduh yang berusia 22 tahun itu.
Turut menerima hukuman sama, pasangannya, 22, yang ketika ditangkap berstatus isteri orang dan mereka diperintah menjalani hukuman penjara sekiranya gagal membayar denda.
Tertuduh lelaki seorang penjawat awam dan pasangannya yang bekerja sebagai pembantu dapur didakwa di bawah Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana berkhalwat dan sekiranya sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut di rumah wanita berkenaan di Kampung Kubang Ikan dekat Kampung Raja kira-kira jam 2 pagi, 15 Jun lalu.
Pendakwaan dilakukan Norzilawati Said manakala pasangan tersebut tidak diwakili peguam.
Norzilawati yang membacakan fakta kes memberitahu mahkamah, pada 3.15 petang 15 Jun lalu, pegawai Penguat kuasa Syariah Daerah Besut menerima panggilan telefon daripada pihak polis tentang satu tangkapan oleh orang awam terhadap pasangan tersebut di kampung itu.
Pegawai penguat kuasa yang tiba di balai polis kemudiannya bertemu dengan suami wanita berkenaan dan suaminya memberitahu, pada pagi kejadian dia pulang ke rumah lalu memanggil isterinya tetapi tidak dijawab.
“Melalui ruang bawah pintu, dia melihat ada dua orang keluar dari bilik tidurnya lalu dia bertindak masuk melalui pintu belakang dan mendapati ada seorang lelaki sedang cuba memanjat tingkap untuk melarikan diri," katanya.
Dalam kejadian tersebut, suami wanita berkenaan berjaya menangkap lelaki terbabit lalu berlaku sedikit pergelutan namun tertuduh berjaya melarikan diri sebelum ditangkap penduduk kampung dan diserahkan kepada polis.
Lelaki beralamat di Kampung Gong Nangka, Apal dan pasangannya dari Kampung Mak Sara Jertih membayar denda yang dikenakan./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan