Muhammad Roszuhaizat dibawa keluar dari mahkamah selepas hukuman dijatuhkan.
KOTA BHARU: Seorang tukang rumah dihukum 10 tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah memukul seorang mekanik hingga mati dalam kejadian di Jalan Kebun Sultan, di sini, lima tahun lalu.
Hukuman diputuskan Hakim Zainal L Salleh selepas Muhammad Roszuhaizat Hassan, 32, gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.
Zainal dalam keputusannya berkata, pembelaan tertuduh adalah penafian semata-mata.
“Walaupun hukuman tidak dapat mengembalikan mangsa tetapi akan memberi pengajaran kepada kamu dan masyarakat supaya tidak terlibat dengan jenayah sama,” katanya.
Penangguhan hukuman dibenarkan mahkamah dengan jaminan RM15,000.
Sementara itu, Zainal membebaskan empat adik tertuduh, Muhammad Rosmizi, 29, Muhammad Hapizi, 27, Muhammad Zulhilmi, 22, dan Muhammad Safuan, 21.
Dua lagi Nik Muhd Saddan Nik Sid, 21, dan Fahmi Ezzudden Che Muhammad,22, turut dibebaskan.
Mereka didakwa secara bersama menyebabkan kematian Mohamad Ramzi Ibrahim, 29, di hadapan rumah di Jalan Kebun Sultan di sini, pada jam 2.32 petang, 16 Mei 2007.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri , Intan Nur Hilwani Mat Riffin dan peguam bela, Ahmad Nizam Mohamad.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut 10 jam selepas diserang sekumpulan lelaki dengan tukul dan kayu hoki.
Turut tercedera dalam kejadian itu, bapa dan adik mangsa./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan