Khamis, 20 September 2012

Pemuda mati dibunuh selepas bertemu rakan

 Pemuda mati dibunuh selepas bertemu rakan
Mayat mangsa dituntut keluarga di Hospital Kajang, semalam.
SEREMBAN: Seorang lelaki mungkin tidak menyangka panggilan telefon diterima daripada seorang rakan untuk bertemu di sebuah lokasi, adalah panggilan maut untuknya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai dibunuh di sebuah kawasan
berhampiran sebuah tokong Cina di Broga, Nilai, kelmarin.

Mangsa yang tidak bekerja dikenali sebagai Saravanan atau lebih popular dengan gelaran Musang, ditemui mati oleh empat rakannya dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza berwarna putih.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, mangsa berusia 22 tahun dan berasal dari Seremban Selatan.

Menurutnya, hasil siasatan mangsa dipercayai dibunuh berdasarkan kesan kecederaan di beberapa bahagian anggota badan mangsa.

"Siasatan awal juga mendapati kemungkinan mangsa dibunuh menggunakan senjata tumpul.

“Sebelum kejadian berlaku, mangsa dikatakan menerima satu panggilan telefon daripada rakannya untuk bertemu di kawasan tersebut," katanya.

Mohd Yusoff berkata, mayat mangsa kemudiannya ditemui empat lelaki, dipercayai rakan mangsa.

"Mereka juga turut menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memaklumkan mangsa telah mati di lokasi berkenaan.

“Sebaik sahaja semua rakannya tiba di lokasi kejadian, mereka mendapati mangsa tidak sedarkan diri, dipercayai telah mati," katanya.

Menurutnya, dua rakannya segera menghantar mangsa ke hospital untuk tindakan lanjut.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan