PUTRAJAYA: Seorang lelaki berusia 35 tahun hari ini terpaksa meringkuk dalam penjara selama 12 tahun dan dikenakan 12 sebatan atas dua kesalahan merogol seorang gadis bawah umur, tujuh tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak yang bersidang bersama Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Balia Yusof Wahi memutuskan demikian terhadap Efandi Mashor selepas menolak rayuan akhirnya secara sebulat suara.
Sehubungan itu, hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang mengekalkannya, tidak berubah. Hukuman itu bermula hari ini kerana perayu sebelum ini dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu rayuan akhirnya dilupuskan.
Bagi setiap tuduhan, lelaki itu dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan. Hukuman berjalan serentak.
Dalam kes tersebut, kedua-duanya sepakat mengadakan pertemuan sulung pada hari kejadian pertama berlaku.
Mangsa dalam keterangannya menyatakan, perayu mengajaknya bersiar-siar di pantai sebelum membawanya ke pondok di sebuah kebun mempelam dan merogolnya.
Efandi diwakili oleh peguam G. Ravishankar manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kwan Li Sa./utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan