Khamis, 20 September 2012

Sepasang suami isteri dibelasah angkara dendam

 Sepasang suami isteri dibelasah angkara dendam
Kedua-dua sahabat ini mengaku membelasah sepasang suami isteri di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU: Angkara dendam lama, seorang penganggur nekad menjejaki semula ‘musuh’nya itu yang juga pasangan suami isteri bagi melangsaikan dendam yang terpendam sebelum ini.

Dendam yang dipercayai berpunca daripada masalah peribadi telah menyebabkan lelaki itu nekad memanggil ‘ahli kumpulannya’ membelasah pasangan terbabit sehingga mendatangkan kecederaan dalam satu kejadian di Jalan Cempaka 2, Perpindahan Tok Adis, Kuala Ibai, di sini, 10 Ogos lalu.

Bagaimanapun, perbuatan tidak berperikemanusiaan penganggur itu, Mohd Azhar Yaacob, 26, dari Lot Perpindahan Tok Adis, Kuala Ibai, di sini, menerima pembalasan apabila dijatuhkan hukuman denda RM2,400 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Azhar mengaku salah atas dua pertuduhan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa, Hazwan Hashim, 27, dan isterinya Nurul Hamimi Ibrahim, 24.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan itu pada jam 6.30 petang.

Manakala seorang rakannya yang bekerja sebagai penjual ikan, Muhammad Amirudin Abd Wahab, 20, dari Kampung Telok Tok Adis, Kuala Ibai, di sini, turut menerima nasib sama dengan dikenakan denda RM1,200 selepas mengaku salah membelasah mangsa, bapa kepada seorang anak itu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming manakala keduadua mereka tidak diwakili peguam. Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa bersama isteri dan seorang anak mereka berada di dalam kereta Proton Satria sebelum secara tiba-tiba didatangi Mohd Azhar yang menaiki sebuah kereta Proton Viva.

Mohd Azhar telah merampas kunci kereta mangsa sebelum mengarahkan pasangan itu keluar dari kereta namun kedegilan pasangan itu menyebabkan Mohd Azhar naik angin lalu menerajang badan sebelah kiri mangsa menggunakan kaki kanannya.

Isteri mangsa yang melihat kejadian itu cuba memarahi perbuatan Mohd Azhar dengan bertanyakan kenapa memukul suaminya, namun dia turut ditumbuk.

Mangsa yang tidak puas hati cuba menghalang Mohd Azhar yang seperti ‘dirasuk’ itu, bagaimanapun tanpa disedari secara tiba-tiba rakannya, Muhammad Amirudin datang dengan membawa bersama gergaji pokok dan mahu memukul mangsa tetapi tidak sempat kerana dihalang oleh abang kepada rakan mangsa.

Disebabkan situasi yang agak tegang, mangsa terpaksa mengambil penyodok pasir yang secara kebetulan ada di lokasi kejadian bagi menakutnakutkan sebelum kesemua mereka beredar dari lokasi terbabit.

Berikutan kejadian itu, mangsa dan isteri mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan, belakang badan dan luka di siku sebelah kanan./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan