Pelajar institusi pengajian tinggi swasta Fred Ajiri Okpeva, 27, (kiri) dari Nigeria bersama rakannya Siti Elfina Azyze Ezami Azyze, 23, didakwa atas tuduhan menipu.
MELAKA: Dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap tiga tuduhan menipu seorang setiausaha sebuah syarikat swasta hampir RM200,000.
Siti Elfina Azyze Ezami Azyze, 23, dan Fred Ajiri Okpeva, 27, dari Nigeria didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas menipu Teresa Fernandez, 56, dengan memperdayanya menyerahkan wang RM19,000, RM77,227.96 dan RM85,000 dengan cara memasukkan ke dalam akaun Ambank No 2120010025883.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bank RHB dan Ambank Jalan Melaka Raya antara 11 hingga 11.46 pagi pada 1,5 dan 7 Jun lepas mengikut Seksyen 420/109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Zaharah Hussain kemudian membenarkan ikat jamin terhadap Siti Elfina Azyze dan Fred masing-masing RM30,000 dan RM60,000 dengan dua penjamin setiap seorang serta menetapkan 11 Okt depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin sementara Siti Elfina Azyze dan Fred masing-masing diwakili peguam M. Tharuma Ratnam dan Krishnan Papoo.
Sementara di Mahkamah Majistret di sini, dua rakan Fred didenda RM3,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki gambar dan video lucah.
Majistret Nor Azizah Yusof turut memerintahkan Obia Elu Charles, 28, dan Akegwure Israel Okpure, 27, dari Nigeria menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.
Obia didakwa memiliki 23 gambar dan 13 video lucah manakala Akegwure dituduh memiliki 30 gambar dan lima video lucah masing-masing di dalam simpanan telefon bimbit jenis Blackberry 9800 dan 9810 di bilik soal siasat bahagian siasatan jenayah komersil, daerah Melaka Tengah di sini kira-kira 3.30 pagi pada 28 Ogos lepas.
Kedua-dua mereka yang juga merupakan pelajar di IPT swasta di ibu negara didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Insp Rosli Rasi sementara kedua-dua tertuduh diwakili Krishnan./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan