Selasa, 30 November 2010

Pelajar sembunyi atas siling asrama selepas menyamun

KEMAMAN: Seorang pelajar institusi kemahiran dekat sini, gagal memboloskan diri daripada ditahan polis walaupun bersembunyi di atas siling asrama pusat pengajiannya itu sebaik menyedari diserbu pihak berkuasa yang menerima maklumat dia terbabit dalam kejadian samun di sebuah kedai serbaneka di Geliga, di sini, semalam.

Dia yang berusia 20 tahun dikatakan tidak sempat membelanjakan hasil samun bersama rakan subahatnya berikutan pihak berkuasa lebih awal melakukan serbuan yang membawa kepada penemuan pelbagai jenis senjata termasuk pisau dan pistol selain kelengkapan lain dipercayai digunakan dalam kejadian samun yang dilaporkan kira-kira dua jam sebelum itu.

Dalam serbuan sama kira-kira jam 8.30 pagi itu, polis turut menahan seorang lelaki disyaki rakan subahatnya berusia 22 tahun yang tidak bekerja, selain menemui kira-kira RM1,000 dipercayai hasil rompakan disembunyikan di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan ketika dihubungi memberitahu, satu sidang akhbar akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini berhubung kejadian berkenaan.

“Saya akan adakan sidang akhbar esok (hari ini). Kes baru saja dilaporkan dan pihak berkuasa masih mengumpul maklumat untuk meneruskan siasatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro petang semalam.

Difahamkan, penahanan dua individu semalam adalah antara penyelesaian kes terpantas polis Terengganu setakat ini berdasarkan tindakan segera pihak berkuasa itu sejurus menerima maklumat daripada orang ramai mengenai kejadian samun di kedai berkenaan.

Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu bergegas ke lokasi dan menjalankan gerakan memburu sebelum mereka menerima gambaran awal berkaitan suspek.

Ekoran maklumat itu, polis menyerbu sebuah asrama di Kemaman dan menahan dua individu berusia 20 dan 22 tahun selain rampasan beberapa senjata dan kelengkapan yang disyaki digunakan ketika menyamun.

Harian Metro difahamkan, kejadian bermula kira-kira jam 6 pagi semalam apabila dua lelaki bersenjata dan bertopi keledar serta menutup muka, menyamun kedai serbaneka berkenaan sejurus meluru ke kaunter dan melarikan wang tunai kira-kira RM3,500.

Ketika kejadian, tiga pekerja berada dalam kedai berkenaan, namun kedua-dua suspek itu sempat melarikan diri sebelum orang ramai yang melihat kejadian menghubungi polis.

Sebaik menerima maklumat, anggota bilik gerakan melakukan hebahan segera menyebabkan polis bergegas ke lokasi kejadian dan melakukan soal-siasat dengan lebih pantas sebelum memperoleh gambaran kasar mengenai suspek.

Berdasarkan maklumat itu, satu serbuan dilakukan di asrama itu sebelum menahan dua lelaki dan merampas semula beberapa barangan seperti jaket, resit jualan, peti wang, topeng, sarung tangan, pisau, pistol buatan sendiri serta dua peluru./hmetro

Ahli perniagaan, anak ditikam

BANGSAR: Seorang ahli perniagaan parah di kepala dan tangan akibat ditikam bertubi-tubi menggunakan sebatang besi dipercayai pemecah ais oleh perompak yang menceroboh rumahnya di Jalan Limau Purut, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, anak bongsu ahli perniagaan terbabit berusia 22 tahun yang berada di ruang tamu bersama bapanya itu turut ditikam di kepala.

Difahamkan, ketika kejadian dua lelaki berusia 20-an menyelinap masuk ke rumah banglo itu untuk mencuri barang kemas, namun kecewa apabila diberitahu tiada barang bernilai itu. Anak kedua mangsa, Parul Girisha Kumar, 28, yang terselamat berkata, ketika kejadian dia berada di dalam bilik sebelum mendengar pertengkaran di ruang tamu. “Saya ke ruang tamu dan terkejut apabila mendapati bapa dan adik terbaring berlumuran darah akibat ditikam bertubi-tubi di kepala,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Parul berkata, sejurus mengambil barang berkenaan, kedua-dua perompak terbabit melarikan diri dengan menaiki sebuah Proton Wira berwarna kelabu. Menurutnya, kejadian itu disaksikan jirannya yang melihat kelibat dua lelaki berlari keluar dan menaiki sebuah kereta selain kelihatan dua lagi suspek di dalam kereta terbabit. “Jiran saya membawa bapa dan adik ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan, manakala saya menghubungi polis,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan menerima laporan kes itu dan usaha memburu keempat-empat suspek giat dijalankan./hmetro

Bangla mati perut terburai

KAJANG: Seorang lelaki warga Bangladesh ditemui mati dengan perut terburai selepas dipercayai ditikam di Sungai Tekali, Batu 14, Hulu Langat, di sini, semalam.

Mayat Azmol Hussain berusia 30-an ditemui dalam hutan bersebelahan sungai oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.30 petang kelmarin daripada orang awam yang menyaksikan kejadian bunuh itu.

“Saksi mendakwa melihat seorang lelaki berlari sambil memegang perutnya. Saksi yang pelik melihat mangsa berlari mendapati dia dikejar sekumpulan empat lelaki yang menunggang tiga motosikal.

“Mungkin kerana takut, mangsa terjun dari jambatan kira-kira 100 meter berhampiran sungai itu. Saksi menghubungi polis sebelum sepasukan penyelamat dihantar ke tempat kejadian,” katanya pada sidang media di IPD Kajang, di sini, semalam.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, polis mendapati tompokan darah pada permukaan jalan sebelum pasukan menyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Difahamkan, mangsa yang mempunyai pasport dan permit kerja sah bekerja di sebuah kilang di Shah Alam.

“Akibat hujan lebat, operasi terpaksa dihentikan kira-kira jam 11 malam dan disambung semula jam 8 pagi tadi (semalam).

“Kira-kira jam 11 pagi, sepasukan polis menemui mayat mangsa dalam kawasan hutan kira-kira 100 meter dari tempat mangsa terjun,” katanya.

Sakaruddin berkata, berdasarkan siasatan mendapati mangsa masuk ke dalam hutan itu kerana mahu melarikan diri daripada suspek, namun maut kerana mengalami pendarahan serius.

Mangsa cedera di perut dengan kesan torehan pada sebelah kiri sehingga menyebabkan perutnya terburai. “Tiada unsur samun kerana dompet mangsa masih bersamanya. Berdasarkan penemuan permit kerja mangsa, polis menemui majikan, namun mangsa sudah dua tahun berhenti kerja dan bekerja di tempat lain,” katanya.

Polis tidak menolak kemungkinan dendam menjadi motif mangsa ditikam, namun siasatan lanjut masih dalam siasatan.

Menurutnya, saksi kejadian gagal mengenal pasti suspek ekoran tiada nombor plat pada motosikal ditunggang mereka ketika kejadian.

Sehingga kini, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan./hmetro

Tangan wanita cedera ditoreh penarik kereta

SUNGAI PETANI: Seorang wanita mengalami detik ngeri apabila terpaksa bergelut dengan beberapa lelaki yang juga penarik kereta yang menceroboh kawasan rumahnya di Taman Petani Jaya, di sini, Sabtu lalu untuk merampas kereta miliknya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Norlieza Mohd Isa, 24, cedera di lengan kiri akibat ditoreh dengan pisau serta cedera di beberapa bahagian badan akibat dipukul kumpulan lelaki terbabit.

Menceritakan semula kejadian itu, Norlieza berkata, ketika kejadian dia berseorangan di rumah sewanya manakala rakannya keluar sebelum melihat dua kereta dinaiki enam lelaki berhenti di depan rumah.

“Empat daripada mereka kemudian bertindak membuka pintu pagar yang tidak berkunci sebelum menceroboh ke kawasan rumah serta membuka pintu kereta Proton Wiranya dengan mengumpil menggunakan peralatan tajam.

“Saya cuba menghalang mereka daripada merosakkan kereta sebelum seorang meminta kunci kereta. “Saya enggan memberinya kerana mereka tidak menunjukkan notis penarikan kereta daripada bank,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, kumpulan lelaki terbabit turut bertindak kurang ajar apabila menyatakan mahu merampas kereta itu untuk kegunaan mereka dan mahu menjual peralatan kereta itu bagi mendapatkan wang. Malah, mereka turut mencabarnya menghubungi polis apabila dia cuba menghalang perbuatan itu.

Katanya, cubaannya untuk menghalang menyebabkan berlaku pergelutan hingga dia dipukul dan dicederakan sebelum ditolak hingga terjatuh.

“Saya bernasib baik apabila teman serumah tiba-tiba pulang dan segera menghubungi polis menyebabkan kumpulan lelaki itu beredar dan tidak sempat merampas kereta saya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani.

Menurutnya, dia menghubungi bank berkenaan dan mereka mengakui mengeluarkan notis berkenaan tetapi tidak mengarahkan kumpulan lelaki itu merampas kereta berkenaan dan memintanya membuat laporan polis.

Katanya, kejadian itu kali kedua berlaku apabila kumpulan sama menahannya di Jalan Ibrahim, di sini, pada 9 November lalu.

“Kereta saya tiba-tiba dihalang Proton Waja dinaiki dua lelaki sebelum seorang daripada mereka masuk ke dalam kereta dan mengugut menyerahkan wang jika tidak mahu kereta dirampas. Saya yang ketakutan memberikannya RM100 sebelum mereka beredar.

“Bagaimanapun, setengah jam kemudian ketika di kawasan Kampung Penghulu Him, di sini, dua lagi lelaki dipercayai rakan mereka menghalang kereta saya dan meminta RM2,000. Norlieza berkata, dia yang ketakutan memberikan RM1,500 sebelum baki RM500 diberikan malamnya.

Jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan membuka kertas siasatan./hmetro

Perompak kaget cabut

KUALA LUMPUR: Niat jahat seorang penjenayah bersenjatakan pistol merompak sebuah kedai emas bertukar lucu apabila dia kelam-kabut melarikan diri selepas pemilik kedai emas berkenaan menjerit meminta tolong.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin, penjenayah veteran berusia lewat 50-an berkenaan pulang dengan tangan kosong selepas tergamam dengan tindakan pemilik kedai emas di Jalan Pudu, di sini, yang menjerit walaupun diacukan pistol.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 43 tahun bersama ayahnya sedang membuka pintu kedai emas terbabit untuk mulakan perniagaan.

“Ketika itu seorang lelaki bertubuh kurus tiba-tiba masuk ke dalam premis sebelum mengacukan pistol ke arah kedua-dua mangsa. Bagaimanapun, suspek yang menyangka mangsa akan kaku akibat ketakutan terkejut apabila kedua-dua mangsa lari melalui pintu belakang premis.

“Mangsa yang berjaya melarikan diri kemudian menjerit meminta tolong sambil mengatakan ada perompak mahu menyamun kedai emas terbabit. Tindakan itu menyebabkan penjenayah panik sebelum melarikan diri tanpa sempat mengambil barang kemas diidamkan,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian segera membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi berhubung kejadian./hmetro

Ayah tergantung di alang pintu

BENTONG: Kelu lidah dua beradik apabila menemui bapa mereka tergantung dipercayai membunuh diri di sebuah taman perumahan di Karak, dekat, sini, petang kelmarin.

Kejadian jam 4.30 petang itu disedari dua anak mangsa yang berusia 6 dan 11 tahun selepas menemui bapa mereka tergantung pada satu alang pintu bilik di rumah mereka dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Difahamkan, mangsa yang berusia 36 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori dipercayai melakukan perbuatan terbabit dengan mengambil kain langsir dan menggantungnya pada alang pintu berkenaan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman, berkata sebaik melihat bapa mereka tergantung, dua beradik terbabit menjerit sekuat hati kerana terkejut sebelum memaklumkan kepada abang sulung mereka berusia 15 tahun yang pulang ke rumah.

Menurutnya, remaja itu meminta bantuan jiran terdekat untuk menghubungi Balai Polis Karak, dekat sini, sebelum mayat lelaki terbabit dihantar ke Hospital Bentong (HB)./hmetro

Tiga anggota polis dipenjara setahun kerana rasuah

SHAH ALAM: Seorang anggota polis berpangkat Koperal dan dua lagi yang berpangkat Lans Koperal, masing-masing dihukum penjara setahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah kerana menerima rasuah daripada seorang pemilik kafe, lapan tahun lepas.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob memerintahkan ketiga-tiga tertuduh dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Tetuduh pertama, Koperal Abd Aziz Mohd Din, 48, dan tertuduh kedua, Lans Koperal Saadon Khamis, 52, didakwa bersama-sama menerima suapan RM1,500 daripada seorang pemilik kafe, Sharifah Asna Syed Hashim Idid sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Sharifah Asna yang dikatakan mempunyai pekerja asing tanpa permit.

Tertuduh ketiga Lans Koperal Shafie Ariffin, 47, pula didakwa menerima suapan RM1,000 daripada Sharifah Asna untuk tujuan sama.

Ketiga-tiga mereka yang ketika itu bertugas di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya didakwa melakukan perbuatan tersebut di Kafe Ceria, USJ, Subang Jaya, Selangor, kira-kira pukul 2.30 petang, 15 Oktober 2002.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, bagi setiap kesalahan./hmetro

Juruteknik dihukum gantung kerana edar dadah

ALOR SETAR: Seorang juruteknik dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 1147.3 gram dua tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd Azman Husin menjatuhkan hukuman itu terhadap Azizan Yahaya, 50, yang didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Azizan yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat produk kesihatan di sini didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya bernombor 1154 Taman Bersatu, Jalan Kuala Kedah di sini pada 15 Jun 2008 pukul 3.15 pagi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhayati Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam S.P Raman./ Bernama

Pasangan kekasih ditangkap khalwat


LUNAS: Sepasang kekasih berusia 20-an ditangkap oleh lima anggota penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim (PADK) kira-kira jam 10.30 malam semalam kerana bersekedudukan di sebuah rumah teres di sini. 

Jurucakap PADK berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai kira-kira jam 9.30 malam berikutan sering ternampak perempuan berkenaan masuk ke dalam rumah kekasihnya. 

"Ketika membuat serbuan di rumah pasangan itu, pintu pagar tidak berkunci dan hanya pintu gerigi besi dan pintu rumah berkunci. Setelah memperkenalkan diri, PADK terpaksa menunggu hampir 10 minit sebelum lelaki berkenaan membuka pintu. Hasil pemantauan, PADK mendapati remaja perempuan berkenaan melarikan diri ke bilik lain. 

"Lelaki berkenaan pada mulanya memaklumkan dia tinggal seorang, namun setelah rumahnya diperiksa, PADK menjumpai seorang perempuan dalam almari baju plastik dengan hanya berbaju 'singlet' dan berseluar pendek. Hasil soal siasat, pasangan itu tidak mempunyai sebarang hubungan mahram dan mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Lunas untuk membuat laporan," katanya. 

PADK berkata, pada mulanya lelaki berkenaan tidak mengaku perempuan itu adalah kekasihnya, namun akhirnya menyatakan dia terpaksa memanggil teman wanitanya untuk menemaninya di rumah kerana dia sering ternampak lembaga putih dalam rumah dan meminta kekasihnya menjaga kucingnya yang ada di bahagian bilik hadapan. 

"Pasangan itu akan disiasat di bawah Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut keputusan mahkamah. 

"Pasangan itu dikemudiankannya dibebaskan dengan ikat jamin dan diarahkan hadir ke PADK untuk diambil kenyataan dan menetapkan tarikh perbicaraan mereka di Mahkamah Rendah Syariah Kulim” katanya./sinarharian

Seorang pensyarah wanita ditahan membawa dadah 12.5 kilogram

SEREMBAN: Cubaan seorang pensyarah wanita warga asing dipercayai membawa bekalan dadah dengan menaiki sebuah bas ekspres menuju selatan tanah air gagal apabila dicekup polis di tepi jalan berdekatan Plaza Tol Seremban, di sini, awal pagi kelmarin.

Perbuatan berkenaan terbongkar dalam serbuan khas dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, kira-kira jam 5.30 pagi.

Timbalan Ketua JSJN Negeri Sembilan, Deputi Superintendan Yahya Othman berkata, berdasarkan hasil maklumat awam, pihaknya segera bertindak menahan bas berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Sejurus bas itu berhenti di tepi jalan, kami berjaya mengesan wanita asing berusia 50-an yang mengaku bekerja sebagai tenaga pengajar teknik animasi di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini.

“Hasil pemeriksaan terhadap beg pakaian dibawanya menemui 12 ketulan plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja dianggarkan seberat 12.5 kilogram.

“Mengikut harga pasaran, nilai dadah itu kira-kira RM50,000 dan dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.

Menurutnya, wanita berkenaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

“Polis turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap suspek tetapi didapati negatif,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat pembabitan wanita berkenaan dengan rangkaian sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif sekitar Lembah Klang dan Seremban./hmetro

Filem lucah 3-D di televisyen Perancis

PARIS: Perancis akan menjadi negara pertama di Eropah yang menyediakan perkhidmatan video lucah tiga dimensi (3-D) berdasarkan permintaan dengan ihsan stesen Marc Dorcel Television, lapor sebuah akhbar semalam.
Stesen televisyen itu akan melancarkan langganan untuk memperoleh hiburan dewasa yang pertama dengan menggunakan 3-D.
Penerbit-penerbit filem lucah di Perancis merancang untuk meluaskan program langganan itu dengan beberapa rakan stesen televisyen lain di Perancis./ Agensi

Dua polis dipenjara 2 bulan kerana rasuah

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret membebaskan dua anggota polis daripada tuduhan menerima rasuah sebaliknya mengenakan hukuman penjara dua bulan dan denda RM10,000.
Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan itu setelah menerima rayuan pihak pendakwaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret di sini yang membebaskan Lans Koperal Mohd Salleh Musa, 47, dan Lans Koperal Hasnul Malik Yeop Mat Rasid, 51, daripada tuduhan itu pada 29 Okt tahun lalu.
Hakim Mohd Azman bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sehingga rayuan selesai didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Sebaliknya permohonan untuk menangguhkan pembayaran denda pula ditolak menyebabkannya perlu dijelaskan pada hari ini.
Pihak pendakwaan yang bertindak sebagai perayu dalam kes ini diwakili Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Iznina Hanim Hashim manakala kedua-dua anggota polis berkenaan diwakili peguam K.C Ang.
Mengikut pertuduhan, Mohd Salleh dan Hasnul Malik telah meminta suapan wang tunai RM500 di balai polis Kota Sarang Semut di sini pada 5.15 petang 2 Dis 2005 daripada Wong Kok Choon sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan yang didakwa telah mengganggu seorang gadis.
Pihak pendakwaan memfailkan rayuan selepas Mohd Salleh, yang telah berkhidmat selama 28 tahun dalam Polis Diraja Malaysia dan Hasnul Malik, yang telah berkhidmat 32 tahun, dibebaskan daripada tuduhan itu oleh Mahkamah Majistret di sini di akhir kes pembelaan./Bernama

Isnin, 29 November 2010

Mayat Dalam Almari: Tertuduh Berzina Dengan Kekasih Depan Almari

Teman wanita tertuduh, Nazratul Anis Zainal Abidin, 23, memberitahu, selepas masuk dan meletakkan beg pakaian di ruang tamu kemudian naik ke bilik utama untuk menggunakan tandas, Mohafri mengajaknya melakukan hubungan seks.
“Pada mulanya saya tidak mahu, tetapi tertuduh kata sekejap sahaja,” katanya yang mengenali tertuduh sebagai berstatus duda semasa mereka bekerja di Tropicana Medical Centre pada 2009.
Saksi pendakwaan kelima itu memberitahu ketika ditanya mengenai kedudukan almari pakaian, almari pakaian berada di sebelah kiri katil, tetapi pandangannya tidak jelas kerana tidak memakai cermin mata yang diletakkan di kabinet.
Tambah Nazratul Anis, tertuduh juga berkelakuan seolah-olah mahu menghalang pandangannya di bahagian kiri kerana sering berdiri di sebelah kiri dan juga menunggunya keluar daripada tandas.
Saksi menambah, dia tidak melihat perkara luar biasa ataupun mendengar bunyi orang mengerang semasa berada di rumah itu.
Terdahulu pelatih pengurusan berkenaan memberitahu, dia bertolak pada pukul 1 petang dan tiba di Perhentian Bas Jalan Duta, Kuala Lumpur (dekat sini) pada pukul 5 petang.
Katanya, tertuduh datang menjemputnya dan membawa dia ke sebuah rumah teres dua tingkat di Ampang.
Katanya lagi, selepas mengadakan hubungan seks dia mendengar bunyi loceng dan tertuduh telah mengarahkan saksi untuk mendiamkan diri manakala tertuduh ke menuju ke arah tingkap.
“Saya ada menyuruh tertuduh untuk membuka pintu kerana mungkin ada sesiapa di luar, mungkin ada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Tertuduh beritahu ada seorang perempuan memakai seragam polis di luar,” katanya.
Tertuduh semasa itu tidak mahu membuka pintu dan memberi alasan polis itu mencari pembantu rumahnya yang tidak mempunyai dokumen perjalanan diri.
Mengenai hubungan sulit mereka Nazratul Anis berkata, mereka telah merancang untuk ke sempadan Thailand bagi urusan pernikahan, pada hari kejadian pembunuhan berlaku.
Katanya, rancangan untuk bernikah di sempadan Thailand dibuat ekoran hubungan itu tidak direstui oleh bapanya dan tertuduh telah menguruskan segala urusan berkaitan pernikahan.
Sehubungan itu, azratul Anis telah menaiki bas daripada Parit Buntar, Perak untuk berjumpa dengan tertuduh sebelum mereka menaiki kereta api ke Perlis.
Selepas keluar dari rumah berkenaan, saksi yang bertubuh kecil molek itu seterusnya memberitahu, mereka dijemput oleh adik Mohafri yang dkenali sebagai Hanafi dengan kereta Proton Wira untuk ke perhentian Transit Aliran Ringan (LRT).
“Saya dan tertuduh menaiki teksi untuk ke KL Sentral kerana kereta api kami bertolak pada pukul 8.15 malam. Sepanjang perjalanan, saya nampak tertuduh sibuk bercakap di telefon bimbit.
“Pukul 9 malam, kereta api sampai di stesen Rawang, dekat sini. Saya dan tertuduh turun. Saya tanya tertuduh kenapa dan dia cakap dia terpaksa buat laporan polis tentang kehilangan Fazlina.
“Saya cakap, apa kaitan dia dengan Fazlina kerana mereka dah bercerai. Dia jawab, dia orang yang desak dia untuk buat laporan. Tapi saya tidak tahu siapa ‘dia orang’,” katanya yang ditinggalkan tertuduh dan diarahkan pulang semula ke Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Nazratul Anis menghubungi rakannya, Nur Ikhwan Abadi Andi Samsinar yang dipanggil Wan untuk menjemputnya di stesen kereta api Sungai Buloh, dekat sini.
“Wan bawa saya ke tempat kerjanya kerana dia masih belum habis waktu bekerja semantara saya menunggu di dalam kereta sehingga pukul 10.30 malam. Selepas itu, kami pergi ke rumah tertuduh.
“Masa sampai, kawasan itu telah dikepung oleh polis. Wan buat satu pusingan dan letak kereta di belakang. Wan suruh saya duduk tinggal di dalam kereta sambil dia pergi tanya orang.
“Wan beritahu saya ada kes suami bunuh isteri,” katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar.
Saksi menambah, dia membuat laporan polis selepas diminta oleh Wan memandangkan dia adalah individu terakhir bersama tertuduh. Di balai polis, dia dibawa ke sebuah bilik untuk diambil keterangan dan telefon bimbitnya dirampas.
Sementara itu, kakak mangsa, Faezah selaku saksi pendakwaan keenam menangis apabila dirujuk gambar adiknya dan memberitahu mula rapat dengan adik bongsunya sejak ahir tahun lalu.
“Fazlina ada memberitahu bahawa dia menghadapi masalah rumah tangga disebabkan orang ketiga dan mereka hendak bercerai,” katanya.
Saksi yang bekerja sebagai penolong jururawat di Pulau Pinang juga memberitahu, kali terkahir dia menghubungi mangsa ialah pada pukul 5.30 pagi, hari kejadian bagi meminta mangsa mengambil cuti kecemasan untuk membawa bapa mereka yang berada di Kulim,Kedah yang sakit.
Mohafri, 37, yang sebelum ini bekerja sebagai pengurus syarikat katering dibicarakan atas tuduhan membunuh Fazlina, 38, antara pukul 5 da 10.30 pagi, 30 Disember 2009 di rumah nombor 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang.
Dia yang diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mayat Fazlina, ibu kepada dua orang anak itu ditemui dibaluti kain selimut tebal dan diletakkan di bahagian bawah almari pakaian manakala hidung dan mulutnya ditekup dengan menggunakan pita pelekat.
Mangsa juga merupakan seorang penghidap asma kronik.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung 13 Januari depan./mstar

Wanita ditukul dedah dosa suami

SABAK BERNAM: Seorang isteri diceraikan dengan talak tiga melalui SMS selepas mengadu kepada ketua kampung mengenai tingkah laku suaminya yang membawa pulang wanita lain ke rumah untuk melakukan maksiat.

Lebih malang, ketika membawa pulang teman wanita itu, isteri berkenaan bersama tiga anaknya berada di rumah dan melihat tingkah laku lelaki terbabit.

Isteri berkenaan, yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 29, berkata bukan sekali, malah banyak kali suaminya berkelakuan sedemikian dan jika ditegur, suaminya itu akan memukulnya dan anak-anak dan lapan laporan polis dibuat berhubung kejadian dera itu.

Berikutan tidak tahan dengan perilaku suaminya, dia membuat aduan kepada ketua kampung meminta menasihati suaminya itu.

Bagaimanapun, tindakannya itu menyebabkan suaminya berang dan tidak lama kemudian dia menerima SMS daripada suami yang menceraikannya dengan talak tiga.

“Kejadian berlaku sebulan lalu, kira-kira jam 10.30 malam, suami saya yang juga seorang anggota tentera membawa pulang seorang wanita berusia 21 tahun yang didakwa adik angkatnya.

“Saya sudah tidak sedap hati apabila melihat perilaku suami yang berpelukan dengan ‘adik angkat’ itu di depan mata dan percaya mereka ada hubungan sulit.

“Isteri mana yang sanggup melihat suami melakukan maksiat di depan mata. Ketika itu hancur luluh hati saya.

“Malah, anak saya turut melihat perbuatan ayah mereka itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.

Kes cerai itu katanya dirujuk ke Mahkamah Rendah Sungai Besar, di sini, dan mereka disahkan bercerai pada 10 November lalu.

Menurutnya, pernah sebelum ini dia menegur tindakan suaminya yang gemar bertukar wanita dan akibatnya dia diterajang tanpa belas kasihan.

“Saya akan disepak terajang, diketuk seluruh badan dengan tukul besi setiap kali menegur perbuatan terkutuknya yang gemar membawa kekasih ke rumah kami.

“Bukan saya saja menjadi mangsa, malah dua anak kami yang masih kecil menerima nasib sama,” katanya menceritakan nasibnya yang mendakwa sering dipukul suami jika menegur perbuatan suaminya membawa pulang wanita ke rumah sejak berkahwin 11 tahun lalu.

Menurutnya, disebabkan itu, kedua-dua anaknya yang berusia lapan dan sembilan tahun kini trauma.

“Kerana tidak tahan dengan pukulan dan hinaan suami yang memukul kami anak beranak, saya membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar dan lebih lapan laporan sudah dibuat, tetapi tiada tindakan diambil ke atas bekas suami saya itu,” katanya.

Hasil perkahwinan itu, mereka turut dikurniakan seorang lagi anak perempuan berusia dua tahun yang kini menghidap penyakit paru-paru berair.

Katanya, walaupun baru berstatus janda, tetapi dia reda kerana terselamat daripada menjadi mangsa belasahan suami.

“Walaupun suami sudah keluar dari rumah, tetapi dia meninggalkan hutang along berjumlah RM15,000 menyebabkan saya kini ketakutan jika samseng datang ke rumah mencari suami saya. Dulu, kami pernah berpindah rumah kerana tidak tahan menjadi buruan along. Kini tak tahu apa pula yang akan berlaku,” katanya.

Siti berkata, kini hidupnya cuma untuk tiga anaknya dan akan cuba membesarkan mereka menjadi insan yang berguna.

Selain itu, anak sulung Siti Aishah terpaksa berhenti sekolah kerana ingin membantunya menjaga dua adiknya. “Anak bongsu saya yang berusia dua tahun terpaksa dijaga rapi kerana menghidap penyakit paru-paru berair dan perlu ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani rawatan setiap bulan,” katanya.

Beliau yang tidak bekerja kini buntu dan berharap sumbangan orang ramai yang simpati terhadap nasibnya. Mereka yang bersimpati boleh menghubunginya di talian 012-9433226./hmetro

Ikat, tikam, sembelih

KEJAM...mayat mangsa dihantar ke HKL untuk dibedah siasat.
KEJAM...mayat mangsa dihantar ke HKL untuk dibedah siasat.
SENTUL: Diikat, ditikam dan disembelih. Itulah azab ditanggung seorang lelaki yang dibunuh dengan kejam sebelum mayatnya dicampak di tepi jalan dengan lebih 23 kesan tikaman ditemui pada badannya di Kampung Batu, Kilometer 5, Jinjang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 50-an ditemui orang ramai yang kebetulan melalui kawasan gelap berhampiran tangki air, di kampung berkenaan.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, mangsa dipercayai seorang India Muslim, memakai baju kemeja belang, berseluar panjang, berselipar dan berbadan agak gempal.

“Ketika ditemui, tangan mangsa dalam keadaan terikat ke belakang dengan beberapa kesan tikaman di depan dan belakang badannya.

“Sepasukan pegawai dan anggota polis daerah Sentul yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa dipercayai dibunuh sejam atau dua jam dengan keadaan tangannya diikat sebelum mayatnya dicampak di kawasan tangki air itu. Lebih mengerikan terdapat kesan mangsa disembelih,” katanya.

Menurutnya, polis tidak dapat mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada dokumen diri ditemui pada mayat berkenaan.

“Kami tidak dapat kesan lagi motif pembunuhan mangsa sama ada kerana dendam atau disamun. Oleh itu saya minta sesiapa yang mengenali mangsa atau kehilangan ahli keluarga tampil ke Balai Polis Sentul untuk memberi maklumat lanjut,” katanya.

Zakaria berkata, tiada senjata pembunuhan ditemui di tempat kejadian, malah pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain beberapa jam sebelum dicampak ke kawasan tangki air itu.

“Polis tidak menolak kemungkinan lebih dari seorang suspek terbabit. Motif masih lagi dalam siasatan dan mayat mangsa kini masih berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat,” katanya. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan./hmetro

Warga emas putih mata barang kemas RM85,000 dikebas

KUALA LUMPUR: Sukar dipercayai apabila seorang wanita warga emas yang hanya tinggal di Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai, Sungai Besi, di sini, mampu menyimpan barangan kemas yang dianggarkan mencecah nilai lebih RM85,000.


Namun tindakan mangsa sengaja menyimpan semua barang berharga itu di dalam bilik tidur, bagaimanapun mengundang padah apabila kediamannya dimasuki pencuri sebelum semua barang berharga terbabit dilarikan, semalam Pemangku Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Osman (gambar) berkata, mangsa yang berniaga di Pasar Pekan Sungai Besi, di sini, hanya menyedari kejadian itu apabila mendapati cermin tingkap rumahnya, di tingkat 14, pangsapuri PPR berkenaan dibuka dan palang besinya di bengkokkan. Menurutnya, mangsa yang mengesyaki rumahnya dipecah masuk segera membuat pemeriksaan dan terkejut mendapati barang kemas yang disimpan sejak beberapa tahun lalu hilang./hmetro

Polis masih buru 2 suspek

PETALING JAYA: Polis masih memburu dua suspek utama yang memperkosa seorang ibu berusia 34 tahun di hadapan anak mangsa, selain turut merakam perbuatan keji itu di rumah mangsa di Kampung Melayu Subang, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya masih mengesan kedua-dua suspek, termasuk memantau sama ada berlaku penyebaran video rakaman perbuatan jenayah berkenaan.

Menurutnya, setakat ini tiada lagi maklumat atau laporan mengenai penyebaran video perbuatan rogol itu, sama ada di Internet ataupun melalui telefon.

“Tiada tangkapan lagi setakat ini,” katanya selepas program bertemu penduduk Taman Sea Park, semalam.

Jumaat lalu Harian Metro melaporkan, seorang ibu terpaksa mengharungi detik hitam apabila diperkosa di depan anak gadisnya berusia 12 tahun oleh seorang daripada dua penjenayah yang memecah masuk rumah mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, ibu muda berkenaan diikat tangan dan diberi pilihan oleh penjenayah untuk menentukan siapa yang akan dirogol sama ada dia atau anak gadisnya, ibu itu tiada pilihan melainkan membiarkan dirinya dirogol seorang daripada dua penyamun berusia lewat 20-an itu./hmetro

Ahad, 28 November 2010

Perompak menyamar jadi pesakit gigi

LEDANG: Sebuah klinik pergigian di bandar Tangkak di sini terpaksa menanggung kerugian anggaran sebanyak RM6,000 apabila dirompak dua lelaki yang berpura-pura menjadi pesakit klinik mereka.

Dalam kejadian jam 5.30 petang kelmarin, suspek yang bersenjatakan parang telah membawa lari wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit milik doktor, tiga kakitangan dan dua pesakit.

Salah seorang kakitangan klinik terbabit, Nurul Nazirah Abdul Malek, 20, berkata, dia masih trauma dengan kejadian yang berlaku kelmarin kerana ketika kejadian dia telah berurusan dengan suspek di kaunter.

Menurutnya, dia tidak menyangka lelaki yang datang untuk mendapatkan rawatan gigi itu sebenarnya berpura-pura dan sebaliknya mempunyai niat jahat merompak di klinik itu.

“Pada jam 2 petang suspek yang berusia 40 tahun telah datang ke klinik ini dan mengatakan ingin membuat rawatan gigi.

“Tetapi, saya mengatakan bahawa pesakit sudah penuh dan memintanya datang pada hari berikutnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, namun suspek enggan berbuat demikian dan sanggup menunggu hingga ke petang semata-mata untuk mendapatkan rawatan.

Kemudian, suspek keluar seketika untuk mengambil keretanya di pusat mencuci kereta dan datang semula ke klinik berkenaan bersama seorang rakan.

“Penantian menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan berakhir dan kedua-dua suspek dipanggil masuk untuk rawatan doktor.

“Bagaimanapun tembelang suspek yang berpura-pura sebagai pesakit terbongkar apabila suspek yang berusia 43 tahun telah merompak pesakit yang sedang menjelaskan pembayaran di kaunter pembayaran,” katanya.

Nurul Nazirah berkata, sejurus selepas itu kedua-dua suspek mengarahkan sambil mengacukan parang kepada kesemua kakitangan klinik dan doktor terbabit supaya patuh kepada arahan yang diberi bagi mengelakkan dicederakan.

“Suspek berusia 40 tahun ini mengambil kesemua wang di kaunter pembayaran dan merampas barang kemas dan enam telefon bimbit,” katanya.

Sebelum melarikan diri, suspek masih sempat merompak seorang pesakit yang baru tiba untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden yang berlaku.

Menurutnya, pihaknya akan melancarkan gerakan untuk memburu kedua-dua suspek untuk tindakan yang selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 kanun yang sama kerana samun berkumpulan dan bersenjata,” katanya./sinarharian